Friday, November 22, 2013

Hakim Mohtarudin tarik diri dengar rayuan Anwar



Mohtarudin Baki
PUTRAJAYA 22 Nov. - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wira Mohtarudin Baki hari ini menarik diri daripada panel tiga anggota mahkamah itu bagi mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan dua pertuduhan dihadapinya mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu menyertai perhimpunan Bersih 3.0 tahun lepas.

Hakim Mohtarudin berkata, beliau dan Anwar 'berkongsi besan' dan berikutan hubungan peribadi itu, mereka pasti akan bertemu dalam mana-mana kenduri.

''Saya berasa tidak selesa untuk mendengar rayuan ini. Saya ingin menarik diri,'' kata beliau.

Panel yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dijadual mendengar rayuan Ketua Pembangkang itu hari ini tetapi pendengaran itu dijadualkan semula ke 5 Februari tahun depan selepas Hakim Mohtarudin menarik diri.

Seorang lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Rohana Yusuf. Hakim Balia berkata rayuan itu akan didengar panel baharu Mahkamah Rayuan.

Anwar, 66, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan yang dihadapinya mengikut Akta Perhimpunan Aman. 

Pada 22 Mei tahun lalu, Anwar dituduh telah melanggar perintah mahkamah dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April tahun lepas.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali dan Ketua PKR Cawangan Rembau, Badrul Hisham Shaharin turut menghadapi pertuduhan sama.

Mereka juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat dengan tiga individu melanggar perintah mahkamah yang melarang sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka pada hari berkenaan, dengan mereka didakwa menghasut R. Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim. - Bernama(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10,.21 am on November 23,2013.

No comments: