Friday, November 22, 2013

Keputusan Kes Saman Harakah 30 Disember

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Kes saman fitnah oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan lidah rasmi Pas, Harakah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk keputusan pada 30 Disember ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong menetapkan tarikh tersebut selepas peguam Azhana Mohd. Khairudin memaklumkan bahawa pihak defendan menutup kes mereka setelah Mohamad yang merupakan saksi tunggal mereka selesai memberi keterangan.

Terdahulu, Mohamad, 59, atau Mat Sabu melalui pernyataan saksinya memberitahu, kenyataan yang diberikannya kepada Harakah dibuat dengan niat baik (bona fide) demi kepentingan awam.

Oleh itu, beliau yang berkecimpung dalam dunia politik sejak kecil lagi menyatakan, segala kenyataannya dalam dua artikel bertajuk, Wan Ahmad tak boleh dipercayai dan Ragu peranan SPR-Wan Ahmad Omar mesti letak jawatan yang disiarkan dalam Harakah edisi 1 hingga 3 Februari 2013 bukan suatu fitnah.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Wan Ahmad selaku pihak plaintif atas kapasiti persendirian.

Selain Mohamad, plaintif menamakan Setiausaha Agung Pas dan pemegang permit Harakah, Datuk Mustafa Ali; syarikat percetakan Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd.; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman serta wartawannya, Aziz Muda sebagai defendan kedua hingga kelima.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Wan Ahmad, Mohamad mengakui bahawa pada waktu 'Projek IC' berlaku di Sabah, Wan Ahmad bukanlah Pengerusi SPR di negeri terbabit tetapi seorang individu bernama Wan Ahmad Wan Yusof.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa segala dakwaan yang dibuat ke atas Wan Ahmad Wan Omar adalah berlandaskan jawatan plaintif ketika itu iaitu Setiausaha SPR Malaysia.

Mohamad turut mengakui beliau tidak pernah membuat sebarang siasatan berhubung dakwaan Wan Ahmad Wan Omar terlibat dalam 'Projek IC' yang memberikan kad pengenalan biru kepada pendatang asing. 

Defendan pertama itu juga bersetuju dengan cadangan Wan Azmir bahawa sekiranya dakwaannya itu tidak benar, artikel yang telah diterbitkan oleh Harakah itu telah memalukan plaintif.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.29 am on November 23,2013.

No comments: