Friday, November 22, 2013

Wan Ahmad nafi terlibat Projek IC

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) hari ini menafikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau terlibat dalam ‘Projek IC’ dan memegang jawatan sebagai Pengerusi SPR Sabah sebagaimana yang dinyatakan dalam dua artikel terbitan akhbar Harakah pada Februari lalu.

Ini kerana, menurutnya, beliau bukan sahaja tidak terlibat secara langsung atau sebaliknya malah, tidak pernah berkhidmat di negeri itu.

Namun, ekoran daripada penerbitan artikel bertajuk, ‘Wan Ahmad tak boleh dipercayai’ dan ‘Ragu peranan SPR-Wan Ahmad Omar mesti letak jawatan’ dalam Edisi Jumaat bertarikh 1-3 Februari 2013 itu, Wan Ahmad mendakwa, reputasi dan kredibilitinya telah terjejas dengan teruk bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan malahan juga di luar negara.

Beliau juga menyatakan, pernah diaibkan seorang penonton yang menuduhnya sebagai tidak bertanggungjawab dan didesak meletakkan jawatan dalam rancangan ‘Hello Malaysia’ yang ketika itu disiarkan secara langsung di televisyen.

Selain itu, Wan Ahmad, 65, memberitahu, adalah mustahil untuk menganggap Wan Ahmad Wan Omar yang dinyatakan dalam artikel terbitan akhbar lidah rasmi Pas itu sebagai individu yang berlainan kerana terdapat seorang sahaja yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi SPR Malaysia atas nama itu iaitu diri beliau. 

Wan Ahmad berkata demikian dalam pernyataan saksinya pada perbicaraan kes saman fitnahnya yang difailkan atas kapasiti persendirian terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, yang bermula hari ini. 

Turut dinamakan dalam saman yang difailkan pada 5 Mac lalu ialah Setiausaha Agung Pas dan pemegang permit Harakah, Datuk Mustafa Ali; syarikat percetakan Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd.; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman serta wartawan Harakah, Aziz Muda sebagai defendan kedua hingga kelima.
Sewaktu disoal balas oleh peguam defendan, Mohamed Hanipa Maidin, Wan Ahmad tidak bersetuju bahawa kredibiliti sebagai Timbalan Pengerusi SPR sememangnya telah dipersoal sebelum penerbitan artikel tersebut.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.37 am on November 23,2013.

No comments: