Tuesday, November 5, 2013

Tidak boleh larang pengundi luar

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat menguatkuasakan cadangan untuk melarang orang luar mengundi di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen tempat mereka bermastautin kerana dilihat melanggar peruntukan Perlembagaan dan menyusahkan rakyat.
Timbalan Pengerusi (SPR)
 Datuk Wan Ahmad Wan Omar

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, apa yang dilakukan pihaknya adalah mencadangkan setiap pengundi yang berpindah tempat tinggal dan bermastautin di kawasan baharu mengemas kini alamat daftar pemilih mereka.

Tegasnya, maksud sebenar pilihan raya diadakan ialah bagi memilih wakil rakyat di kawasan itu yang akan mewakili, sekali gus menjaga kebajikan rakyat yang mengundi.

''SPR telah lama menyedari perkara ini. Apa yang boleh kita buat adalah mengeluarkan cadangan dan peringatan supaya setiap individu yang berpindah ke kawasan DUN atau Parlimen baharu supaya menukar alamat mereka.

''Rakyat sebagai pengundi harus bijak mengundi wakil rakyat yang akan menjaga kebajikan di tempat mereka bermastautin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir supaya SPR mengkaji semula kewajaran membenarkan pendaftaran orang luar sebagai pengundi di sesuatu kawasan kerusi DUN atau Parlimen sama ada boleh diterima sebagai amalan bersifat demokratik.

Wan Ahmad memberitahu, pihaknya menjalankan kajian tentang fenomena itu dan kempen kesedaran mengemaskini alamat baharu giat dijalankan SPR.

Ditanya sama ada SPR akan mengesyorkan supaya satu pindaan Perlembagaan dibuat bagi mewajibkan setiap pengundi mengemaskini alamat tempat mereka bermastautin, beliau berkata, tiada keperluan berbuat demikian buat masa ini.

Menurutnya, sekiranya SPR mengesyorkan perkara itu melalui pindaan Perlembagaan, seolah-olah satu paksaan pula yang akhirnya akan menyusahkan rakyat.

''Sebelum apa-apa keputusan diambil kita perlu melihat implikasi secara meluas.

''Pindaan Perlembagaan dan penguatkuasaan undang-undang itu kelak seperti tidak praktikal. Perkara ini (mengemaskini alamat) adalah inisiatif dan tanggungjawab pengundi dalam menentukan wakil rakyat yang akan membantu di tempat mereka bermastautin," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1445 hrs on November 06,2013.

No comments: