Kedah tegas larang bukan Islam guna kalimah Allah
Mukhriz (tiga dari kanan) bersama barisan Exco menyatakan pendirian kerajaan negeri Kedah berhubung isu kalimah Allah selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin.
ALOR SETAR 8 Jan. - Kerajaan negeri hari ini mengulangi pendirian melarang keras orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah yang merupakan hak eksklusif umat Islam.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, penegasan itu dibuat bagi memastikan kesucian agama Islam dan keharmonian rakyat negeri ini sentiasa terpelihara.
Jelas beliau, walaupun kes penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Seberang Perak dekat sini dan Kulim sebelum ini terkawal dan terpencil, namun pihaknya mengambil langkah menangani isu itu.
"Setelah berbincang dalam mesyuarat exco hari ini, kami memutuskan adalah penting untuk menyatakan pendirian ini secara jelas bagi menghindari berlakunya sebarang perkara tidak diingini walau sebesar mana sekali pun.
"Kita telah menikmati suasana harmoni sejak sekian lama di mana masing-masing saling menghormati serta tahu batas yang tidak boleh dilewati. Kerajaan negeri berharap agar keadaan ini dikekalkan di Kedah agar kita menjadi contoh serta ikutan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Ini merupakan kali kedua penegasan itu disuarakan setelah kali pertama kenyataan sama dibuat pada 16 Julai lalu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini pelbagai komen dikeluarkan mengenai isu berkenaan sehingga mampu mengeruhkan keadaan walaupun ia bertujuan untuk menjelaskan keadaan.
"Saya tak tahu mengapa perkara seperti ini hanya berlaku di Selangor tetapi bagi kami di Kedah, kerajaan negeri mahu pertahankan keharmonian sedia ada. Jadi seelok-eloknya, jangan ada mana-mana pihak timbulkan polemik keagamaan yang tiada penghujungnya," ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengakui masih tertanya-tanya mengapa sesetengah pihak terlalu menekankan kononnya hak mereka untuk menggunakan kalimah Allah pada kitab agama lain selain al-Quran.
"Kalau jawapannya sebab kitab itu dalam bahasa Melayu, adakah pihak yang baca kitab itu di Semenanjung ini hanya boleh berbahasa Melayu? Apa niat dan tujuannya? Kalau pembaca itu boleh berbahasa lain, apa sebabnya kitab itu dicetak dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah.
"Kalau dicetak dalam bahasa Inggeris, adakah menggunakan kalimah Allah juga? Kalau pun dalam bahasa Melayu, ada perkataan lain seperti 'tuhan' contohnya yang tidak menyinggung perasaan orang Islam," katanya.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Nimngal.blogspot.com. at 1631 hrs on Jan 09,2014.
.jpg)
No comments:
Post a Comment