Thursday, January 9, 2014

Ulama' pondok Kelantan kecam Andrew

KOTA BHARU 8 Jan. - Pertubuhan Suara Ulama Pondok Kelantan (Suara Pondok) membidas Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew kerana tetap enggan memohon maaf kepada umat Islam berhubung isu kalimah Allah biarpun didesak banyak pihak.

Presidennya, Zainal Abidin Awang berkata, tindakan Andrew yang angkuh itu tidak boleh diterima sama sekali kerana mahkamah telah membuat keputusan tidak membenarkan mana-mana pihak selain daripada agama Islam menggunakan kalimah suci itu di Semenanjung Malaysia.

"Andrew juga telah melanggar titah Sultan Selangor yang jelas menitahkan seluruh rakyat Selangor bukan beragama Islam supaya tidak menggunakan kalimah Allah.

"Saya menyeru seluruh orang Melayu baik daripada Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya kembali bersatu kerana suara orang bukan Islam semakin lantang meminta sesuatu yang tidak dibenarkan dalam agama termasuklah dalam soal penggunaan kalimah Allah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Andrew enggan tunduk terhadap desakan pihak yang mahukan beliau menarik balik serta memohon maaf berhubung kenyataannya sebelum ini supaya gereja Katolik terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan di Selangor.

Sebaliknya, beliau mempertahankan kenyataan itu dan meminta semua pihak tidak salah faham terhadap apa yang dinyatakannya sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Suara Pondok, Mohd. Saifuddin Abdul Rahman berkata, isu kalimah Allah itu hanya bermotifkan politik dan bukannya suatu perkara yang dituntut oleh agama Kristian.

"Isu kalimah Allah di Asia khususnya di negara ini hanya bermotifkan politik sebab mereka (Kristian) pun tidak mahu kepada kalimah Allah malah ada pandangan paderi mengatakan Allah tidak secocok dengan agama Kristian.

"Golongan di belakang isu ini hanya mahu menghancurkan umat Islam, mereka mahu orang Melayu berpecah supaya mudah untuk melaksanakan agenda memerintah negara ini," katanya.

Beliau turut mengingatkan Andrew supaya tidak memperbodohkan rakyat negara ini dengan alasan Perlembagaan membenarkan rakyat untuk bebas mengamalkan agama masing-masing.(Urtusan online-Dalam Negeri).Posted  by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1624 hrs on Jan,09,2014.

No comments: