Thursday, January 9, 2014

Segera bertindak tegas-Mufti Kedah

ALOR SETAR 8 Jan. - Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad meminta pihak berkuasa segera bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil untuk menggunakan kalimah Allah demi mempertahankan kesucian agama Islam dan keharmonian umatnya.

Kata beliau, apa guna umat Islam di negara ini terus mengkritik dan membuat laporan polis sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pihak terbabit yang jelas cuba mempertikaikan undang-undang negara ini termasuk titah raja.

"Cakap berapa banyak sekali pun tidak akan meninggalkan kesan kalau tiada tindakan diambil. Kita sudah nasihat, tegur, kritik dengan cara elok. Tapi kalau mereka berdegil juga, pihak berkuasa perlulah ambil tindakan.

"Sudah banyak laporan polis dibuat dan pada saya sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa ambil tindakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas tindakan Paderi Andrew Lawrence yang tidak berganjak mahu guna kalimah Allah, beliau turut mempersoalkan tujuan paderi itu yang beria-ia mahu menggunakan kalimah suci itu.

"Allah nama yang suci bagi umat Islam. Dalam 99 nama tuhan, nama Allah paling suci. Kalau al-Quran pun kita tak benarkan bukan Islam sentuh sementara yang Islam perlu ada wuduk, inikan pula kalimah Allah yang lebih suci yakni tuhan esa yang firmannya menjadi kandungan di dalam al-Quran.

"Kita bimbang ada udang di sebalik batu. Selama ini tidak pula menggunakan nama Allah tapi kebelakangan ini kenapa baru hendak guna?" soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam tindakan tiga wakil rakyat DAP yang mencadangkan supaya Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda, kononnya bagi memastikan hak bukan Islam terjaga.

"Enakmen itu sudah cukup elok untuk menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam. Perlu faham Islam agama rasmi di Malaysia. Kalau disama rata dengan agama lain, apa maknanya agama rasmi? Di mana kedaulatan Raja-Raja Melayu selaku ketua agama Islam?

"Kita benarkan mereka melakukan upacara agama sendiri tanpa halangan, kita benarkan mereka bina rumah ibadat masing-masing. Tidakkah itu cukup toleransinya?" katanya.( UItusan online-Dalam Negeri).Posted b y abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.aat 1618 hrs on Jan 09,2014.

No comments: