Tuesday, February 18, 2014

ERRA-EMRAN SAH CERAI TALAK SATU

Oleh MARZITA ABDULLAH dan
AIDA RIZMARIZA KAMARUDIN
pengarang@utusan.com.my 
Dari kiri: Erra Fazira,Engku Emra
SHAH ALAM 18 Feb. - Desas-desus perceraian dan kemelut rumah tangga pelakon Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang digembar-gemburkan pelbagai pihak sejak kebelakangan ini akhirnya terjawab hari ini apabila pelakon itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain mengesahkan lafaz cerai secara baik oleh Engku Emran, 39, terhadap Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 40.

Semasa prosiding tersebut, pasangan itu juga bersetuju hak penjagaan anak perempuan mereka, Engku Aleesya, 5, diserah kepada Engku Emran manakala hak bersama bermalam diserahkan kepada Erra. 

Mereka turut memperoleh hak cuti persekolahan dan perayaan secara bergilir-gilir manakala tuntutan nafkah, idah dan mutaah digugurkan, setelah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Engku Emran yang memakai kot kelabu dilihat sebak dan terhenti seketika semasa melafazkan talak tersebut manakala Erra kelihatan tenang.

Sebelum itu, Erra yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari dan Engku Emran diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak mengesahkan telah tinggal secara berasingan sejak setahun enam bulan lalu.

Erra memfailkan dokumen permohonan cerai dan hak penjagaan anak semalam mengikut Seksyen 47 dan Seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Pelakon itu yang berjubah moden dan bertudung juga berwarna kelabu serta memakai topeng penutup mulut dan Engku Emran yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV, hadir di mahkamah kira-kira pukul 12 tengah hari.

Erra yang kini merupakan pengacara bersama rancangan bual bicara Primadona hadir ditemani rakan baiknya, Datin Paduka Umie Aida dan suami; pengarah filem, Erma Fatima; serta seorang lagi rakan wanitanya manakala Engku Emran ditemani rakan lelaki.

Pasangan itu bernikah pada 25 Oktober 2007 di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail dan Engku Aleesya merupakan anak tunggal mereka sepanjang hampir tujuh tahun usia perkahwinan mereka.


Sebelum ini Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada Jun 2003, namun perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

Sebaik sahaja prosiding selesai, Erra dan yang lain bergegas meninggalkan bangunan mahkamah bagi mengelak sebarang pertanyaan pihak media namun terpaksa mengalah setelah gagal melepasi pintu lif. 

Setelah diasak dengan pelbagai soalan akhirnya dia berkata, kini semua spekulasi tentang rumah tangganya sudah terjawab dan terlerai.

"Alhamdulillah perceraian ini berlaku secara baik, tidak timbul soal anak, saya berharap semua orang berhenti bertanya saya tentang hal ini dan mendoakan yang terbaik untuk saya," katanya.

Sementara itu ketika ditemui selepas rakaman program Primadona di sini petang ini, Erra mengakui bukan mudah baginya untuk menghadapi perceraian ini.

Menurutnya, walaupun dia tampak tenang sewaktu mendengar lafaz cerai daripada Engku Emran namun dalam hatinya tiada siapa yang tahu. Erra berkata, hatinya tidaklah sekuat apa yang terpancar di wajahnya. 

"Saya tidaklah sekuat mana dan jangan ingat saya tiada perasaan tatkala menerima dugaan ini. Tiada siapa tahu apa yang bergelodak dalam hati saya. 

"Takkan saya hendak rebah depan mak, keluarga atau rakan-rakan," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu.

Engku Emran ketika ditemui di pekarangan mahkamah enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perceraian tersebut serta gagal dihubungi.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya.bl.ogspot.com at 10.52 am on February 19,2014.

No comments: