Sunday, February 2, 2014

Majlis Peguam jadi 'kenderaan' Ketua Pembangkang-Ranjit Singh

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Jenayah Pulau Pinang, Ranjit Singh Dhillon (gambar) menempelak Majlis Peguam yang 'membisu' tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dipergunakan sesuka hati oleh pembangkang Menurut beliau, Majlis Peguam dilihat sudah menyimpang sehingga membiarkan badan itu dipergunakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai 'kenderaannya' hanya kerana mahu bertanding bagi kerusi DUN.

"Majlis Peguam sudah semakin jauh menyimpang, badan ini seolah-olah merelakan diri untuk menjadi 'kenderaan' yang dipergunakan oleh Anwar sewenang- wenangnya.

"Benarlah dakwaan umum, Majlis Peguam sudah menjadi alat pakatan pembangkang bagi mencapai objektif mereka dalam politik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dakwa beliau, rakyat di negara ini sudah menggangap Majlis Peguam adalah 'alat politik' pakatan pembangkang.

"Apakah sebenar peranan Majlis Peguam di negara ini? Apakah pendirian majlis ini berhubung PRK Dun Kajang?

"Bagaimana mereka boleh diam seribu bahasa apabila seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat boleh dipaksa meletak jawatan bagi memberi ruang kepada orang lain bertanding sesuka hati? Adakah ini perjuangan hak asasi yang sering menjadi laungan Majlis Peguam?," katanya.

Menurutnya, jika benar Majlis Peguam menggambarkan diri mereka sebagai pelindung hak asasi manusia, demokrasi, tadbir urus yang baik dan memperjuangkan pilihan raya adil serta bebas, mengapa tidak cuba untuk meminda undang-undang yang boleh mengelakkan kejadian seperti ini berulang kembali?

"Ahli politik sedang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, adakah Majlis Peguam akan terus berdiam diri? Membutakan mata dan telinga?

"Jangan kita lupa bagaimana Majlis Peguam menghantar 89 sukarelawan hanya untuk demonstrasi jalanan Bersih yang kononnya mahu pilihan raya bersih, bagaimana pula dengan PRK yang sengaja diadakan ini?" tegasnya.

Jelas Ranjit Singh, beliau sedar dengan risiko yang bakal menimpa dirinya dengan kenyataan dan persoalan dilontarkan olehnya, namun kritikan seperti ini amat wajar.

Dalam pada itu, Ranjit Singh turut membidas sikap berdiam diri badan itu terhadap seorang peguam terkenal DAP yang telah didakwa membuat laporan palsu surat saman terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Sudah ada laporan polis juga, mengapa Majlis Peguam tidak pernah bertindak atau mengeluarkan sebarang kenyataan? Adakah kerana beliau sangat berkepentingan?" soalnya.

Tambah Ranjit Singh, seandainya Majlis Peguam berterusan mendiamkan diri, beliau mungkin akan membawa perkara tersebut ke peringkat lebih tinggi demi menegakkan undang-undang kerana melibatkan hak asasi rakyat di negara ini.( Utrusan online-Politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal. blogspot. com at 11.00 am on February 03,2014.

No comments: