Thursday, February 13, 2014

PRK Kajang adalah siri pembuangan pemimpin PKR

KHAMIS, 13 FEBRUARI 2014 10:12.Pilihanraya kecil DUN Kajang merupakan antara siri pembuangan pemimpin dalam PKR kata penganalisis politik.

Bagi mereka wujud perbezaan besar antara perletakan jawatan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga ADUN Balingian dengan pengosongan kerusi DUN Kajang kerana situasinya jauh berbeza.

Menurut penganalisis politik, pada tahap ini, pilihan raya kecil belum tentu akan diadakan di DUN Balingian kerana Abdul Taib masih boleh kekal sebagai ADUN sehingga habis tempoh dan hanya perlu mengosongkan kerusi tersebut untuk membolehkan beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak. 

Namun, menurut mereka, PRK DUN Kajang sudah pasti akan diadakan selepas bekas wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sengaja meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Kling berkata, peletakan jawatan ADUN Kajang merupakan manipulasi politik semata-mata untuk membolehkan Anwar berkuasa di Selangor manakala pengunduran Abdul Taib adalah bagi meneruskan kelangsungan pentadbiran negeri kerana beliau telah terlalu lama menyandang jawatan tersebut.

Lagi pun, katanya, keputusan Taib itu bukan mengejutkan kerana beliau pernah berjanji semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu untuk bersara selepas memastikan situasi politik di negeri tersebut kembali tenang.
"Saya melihat Pilihan Raya Kecil DUN Kajang ini adalah antara siri pembuangan pemimpin-pemimpin politik dalam PKR yang bermula daripada Dr. Chandra Muzaffar, Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim, Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan dan banyak lagi.

"Kini di Kajang, bukan hanya Chin Cheh, malah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga kemungkinan akan hilang jawatannya dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali juga tidak dapat menjadi Menteri Besar Selangor," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan pula berkata, kerusi DUN Balingian mungkin dikosongkan kerana Abdul Taib kemungkinan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak sedangkan DUN Kajang telah dikosongkan tanpa sebarang alasan munasabah.

Baginya, tindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang adalah tidak beretika kerana bukan bertujuan mengukuhkan perkhidmatan kepada pengundi di situ tetapi lebih kepada kepentingan PKR di Selangor. 

"Bagi saya, soal Anwar bertanding di situ atau mahu menjadi Menteri Besar Selangor lebih kepada proses untuk menstabilkan kedudukan PKR di Selangor ekoran masalah dalaman parti itu yang mungkin boleh menjejaskan hubungan dengan Pas dan DAP yang mempunyai kerusi negeri terbanyak dalam DUN Selangor.

"Dengan alasan-alasan kurang munasabah yang diberikan, ia telah menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat sehingga mendapat kritikan daripada ramai penyokong pembangkang sendiri," katanya.

Beliau berkata, alasan PKR kononnya tindakan itu dibuat bagi menghadapi ancaman politik Barisan Nasional (BN) di Selangor tidak boleh diterima kerana parti pembangkang mempunyai majoriti dua pertiga di dalam DUN Selangor. Abdul Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun sejak 1981 mengesahkan akan bersara dari jawatan itu pada Sabtu lalu. -12/2/2014( Dari Agenda Daily).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1655 hrs on February 13,2014.

No comments: