Sunday, February 23, 2014

Soal kuasa Allah : Polis belum terima aduan

MUAR 23 Feb. - Polis masih belum mengambil tindakan terhadap seorang wanita Melayu yang mempersoal kuasa Allah di akaun laman sosial Facebooknya, 'Murtad in Pantai Timur' kerana tidak menerima sebarang aduan mengenainya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, jika terdapat aduan, siasatan akan dimulakan kerana perbuatan tersebut boleh menjejas keharmonian antara kaum di negara ini.

"Kita percaya wanita berkenaan kini berada di luar negara. Malaysia mempunyai agensi yang boleh menjalankan siasatan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan biarlah agensi berkenaan menjalankan penyiasatan.

"Bagaimanapun jika siasatan mendapati ia di bawah bidang kuasa polis, tindakan akan kita diambil," katanya.
Mohd. Bakri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbuatan wanita itu di laman sosialnya sejak seminggu lalu yang menimbulkan kemarahan orang ramai terutama orang Islam.

Beliau ditemui dalam sidang akhbar pada Majlis Perhimpunan Pesara Polis Sempena Memperingati Tarikh Serangan Balai Polis Bukit Kepong, di Muzim Polis Bukit Kepong, di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Dalam pada itu, Mohd. Bakri mengingatkan semua pihak supaya menghindarkan diri daripada membincangkan isu-isu agama dan perkauman secara melampau kerana ia boleh menjejas keharmonian kaum serta memporak-perandakan negara.

Tegas beliau, kebanyakan negara porak-peranda berpunca daripada isu agama dan perkauman yang dibangkitkan oleh rakyatnya dan pihaknya tidak mahu perkara itu berlaku di negara ini.

Sementara itu, Hanif pula membidas tindakan pihak bukan Islam yang mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau bimbang jika perbuatan itu dibiarkan, ia akan menjadikan kaum-kaum di negara ini berpecah belah dan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang kukuh akan terjejas.

"Kalau tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam, mengapa buat komen pasal Islam? Kalau ini dibiarkan, ia boleh menyebabkan kita berpecah belah. Negara kita belum cukup kukuh, itu patut menjadi matlamat kita sebagai bangsa Malaysia.

"Dahulu kalau ulama mengeluarkan fatwa, bangsa lain tak sentuh kerana itu adalah fatwa untuk orang Islam. Jadi mengapa pula ada orang bukan Islam nak komen pasal agama Islam," ujarnya.(Urtsan online-Jenayah).Posted by abnmulya .blogspot.com .at 9.55 am on February 24,2014.

No comments: