Tuesday, February 11, 2014

Teresa akui hasilkan skrip video

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ 
pengarang@utusan.com.my
Teresa Kok
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini mengakui skrip video ONEderfull Malaysia CNY 2014 yang menimbul kemarahan orang ramai adalah hasil cetusan ideanya sendiri bersama beberapa orang rakan.

Tanpa rasa bersalah, Teresa menganggap video itu adalah salah satu sesi kelakarnya dan bertujuan 'menggembirakan' penonton.

Malah, pemimpin DAP itu tidak menyesal menghasilkan video tersebut biarpun mendapat kecaman umum yang menyatakan bantahan terhadap dirinya yang tidak sensitif dengan pelbagai isu.

Beliau juga mendakwa, isu-isu yang diketengahkan dalam video itu adalah perkara sebenar tetapi dihasilkan dalam bentuk jenaka komedi sahaja.

"Saya tidak akan membuat iklan seperti Petronas yang mengajak orang ramai balik ke kampung sempena Tahun Baharu Cina. Video yang saya buat adalah sesuatu yang penting... supaya orang ramai gembira dan memperoleh mesej sebenar.


"Skrip yang dihasilkan juga tidak sensitif dan perkara ini sebenarnya dilakukan UMNO yang mahu mencari fasal dengan mencipta isu perkauman," dakwanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Ditanya tentang penerimaan orang ramai terhadap video yang dihasilkan, Teresa dengan yakin mendakwa, video itu meraih dan mendapat pujian ramai pihak.

"Ramai orang suka bila menonton... siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya. Dulu ketika saya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) saya juga 'dilawakkan' dan saya boleh terima," katanya. 

Ditanya tentang ugutan untuk menamparnya, Teresa mengakui keselamatannya terancam dan berharap pihak polis segera menyiasat perkara tersebut.

"Saya menerima pelbagai bentuk ancaman selepas mengeluarkan video itu termasuk ancaman bunuh dan kata-kata lucah. Saya telah membuat laporan polis dan bekerjasama dengan pihak polis," katanya.

Teresa baru-baru ini menimbulkan kemarahan rakyat apabila muncul dalam video bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang menyindir pemimpin negara serta krisis keselamatan di Sabah.

Video berdurasi 11 minit 39 saat itu yang memaparkan Teresa selaku moderator bersama tiga orang tetamu undangannya mendapat kecaman pelbagai pihak khususnya pengguna laman sosial.

Sehingga kini lebih 300 laporan polis telah dibuat di seluruh negara bagi meminta pihak berkuasa segera menjalankan siasatan.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.19am on February 12,2014.

No comments: