Thursday, March 13, 2014

Kehilangan pesawat bukan sebab lubang hitam- Pakar

KUALA LUMPUR 13 Mac - Pakar pertahanan dan fizik menolak dakwaan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berpunca daripada ujian alat perang elektronik atau teori lubang hitam.

Malah, mereka menyifatkan teori berkenaan sebagai tidak berasas walaupun ada yang mendakwa kehilangan pesawat itu mungkin berlaku disebabkan oleh faktor tersebut.

Seorang pakar pertahanan yang enggan namanya didedahkan berkata, penggunaan alat perang elektronik tidak mustahil diuji terhadap pesawat-pesawat komersial tetapi bukan melibatkan pesawat milik negara. 

Katanya, ini kerana tidak ada asas untuk menguji alat perang elektronik kepada pesawat komersial seperti MH370 berbanding pesawat tentera.

"Saya tidak nampak untuk tujuan apa mereka mahu menggunakan alat tersebut kepada pesawat itu. Mereka tidak mempunyai asas untuk melakukannya.

"Jika benar ada pihak yang merancang untuk mengujinya, mereka mahu buat dalam peringkat mana dan mengapa mereka memilih untuk melakukannya kepada pesawat awam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, pakar-pakar kejuruteraan penerbangan dari seluruh dunia mengetengahkan pelbagai teori berhubung kehilangan pesawat MH370 termasuk kemungkinan pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berada di lubang hitam atau menjadi mangsa perang elektronik.

Malah, laman web popular yang membincangkan teori-teori misteri, Beforeitsnews.com juga tidak menolak kemungkinan kehilangan MH370 ada kaitan dengan ujian penggunaan alat perang elektronik yang canggih bagi mengelak pesawat itu termasuk kotak hitamnya dikesan radar.

Sementara itu, pakar tersebut menjelaskan, beliau agak pelik kerana pesawat MH370 itu gagal dikesan walaupun saiznya besar serta dilengkapi sistem komunikasi antara tercanggih di dunia.

"Saiz pesawat tersebut besar. Jika ada pihak mahu merampasnya, mereka mahu kawal pesawat sebesar itu pergi ke mana.

"Pihak tersebut perlu mempunyai tujuan tertentu jika mahu melakukannya. Jadi, saya fikir kehilangan MH370 belum sampai ke tahap itu (ujian alat perang elektronik)," katanya.

Beliau menambah, terdapat dua kemungkinan yang mungkin berlaku terhadap pesawat tersebut sama ada pesawat tersebut terhempas akibat kerosakan sistem atau dirampas.

Mengulas mengenai teori lubang hitam yang dikaitkan dengan kehilangan pesawat itu, pakar fizik, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman berkata, kaitan kehilangan pesawat tersebut dengan teori lubang hitam adalah tidak berasas.

"Memang betul teori lubang hitam itu akan menarik pelbagai benda di angkasa lepas termasuk cahaya, tetapi ia tidak akan sampai ke permukaan bumi.

"Lubang hitam itu hanya dapat menarik benda yang terdapat di angkasa lepas sahaja. Di bumi kita sudah ada teori tarikan graviti yang tidak memungkinkan pesawat itu ditarik keluar dari permukaan bumi," jelasnya.(Utiusan online-Dalam Negeri).Posted by ab nmulya .blogspot.com at 10.50 am on March 14,2014.

No comments: