Friday, April 11, 2014

AMK HORMATI HASRAT kERAJAAN pAS kELANTAN

KUALA LUMPUR 11 April - Sewaktu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan sebarang cubaan untuk membentangkan usul rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat akan ditentang, sayap pemudanya pula mengambil pendekatan yang berbeza.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, pembangkang menghormati keputusan Kerajaan Pas Kelantan yang mahu membahaskan usul tersebut. “

Kita menghormati keputusan Kerajaan Pas Kelantan tetapi di sini kita perlu realistik kerana hudud bukan sahaja menjadi kemahuan Kelantan bahkan (Kerajaan Pas) Terengganu sebelum ini juga mahukan hudud. 

“Jadi kita perlu tunggu dan lihat bagaimana ia boleh dibahaskan di Dewan Rakyat kerana perkara itu bergantung kepada kesesuaian Perlembagaan Persekutuan," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kesediaan Kerajaan Pas Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu yang akan membawa usul tersebut di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini.

Sementara itu, Shamsul Iskandar bagaimanapun berkata, Kerajaan Pas Kelantan perlu berjumpa dengan majlis kepimpinan utama pembangkang sebelum membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat.

Katanya, hal demikian kerana Pas masih terikat dengan perjanjian awal yang dibuat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP melalui majlis kepimpinan tersebut.

“Kita perlu ingat yang Pas masih berpegang teguh kepada majlis kepimpinan pembangkang, jadi untuk isu hudud dibahaskan di Dewan Rakyat perlu dibawa ke pengetahuan PKR dan DAP secara rasmi.

Bermakna perlu bincang dengan pimpinan utama pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang. “Perlu ada perbincangan yang formal sebab kita risau Pas akan terjerat dengan permainan politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam isu ini," katanya.(UTUSAN ONLINE-POLITIK).POSTED BY ABNMULYA / BAKAR NINGGAL.BLOGSPOT.COM.AT 10.12 AM ON APRIL 12,2014.

No comments: