Tuesday, April 15, 2014

Hudud : PAS ketepikan DAP,PKR- Abdul Hadi Awang

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan
RADHUAN HUSSAIN utusanterengganu@utusan.com.my 

Abdul Hadi  Awang
KUALA TERENGGANU 15 April - Pas tidak akan mempedulikan bantahan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebaliknya akan tetap mengemukakan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara tegas menyatakan, tiada sebarang perjanjian dalam pakatan pembangkang yang boleh menghalang Pas daripada berbuat demikian.

Oleh itu tegas beliau terpulang kepada PKR dan DAP untuk membantah kerana itu tidak akan menggugat pendirian Pas yang konsisten untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Bercakap kepada pemberita ketika sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini hari ini, Abdul Hadi juga menarik perhatian langkah bagi melaksanakan hudud yang diperjuangkan Pas sudah bermula sebelum kewujudan pakatan pembangkang lagi.

“Yang pertama, kita sokong kerajaan Kelantan (untuk laksanakan hukum Hudud). Kedua, isu hudud di Kelantan telah mendahului Pakatan Rakyat (pakatan pembangkang) sejak awal 1990-an lagi. “

"(Masa itu) tak ada lagi pakatan pembangkang. Ini benda (hukum hudud) yang terlebih awal daripada pakatan pembangkang. Dengan sebab itu kita tak ada masalah untuk kemukakan (rang undang-undang persendirian bagi laksanakan hudud)," katanya.

Beliau mengulas penentangan keras yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP berhubung hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu akan mematuhi perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pakatan pada 2011 yang antara lain tidak akan melaksanakan hudud demi menghormati penentangan konsisten oleh DAP.

DAP pula menegaskan, kesemua 38 ahli Parlimen parti itu telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang usul rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat Jun ini.

Ditanya adakah pendirian Pas itu akan menjejaskan hubungan parti itu dengan PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang, Abdul Hadi berkata: “

"Itu terpulang kepada mereka. Kita konsisten dan kita menyokong kerajaan Kelantan (laksana hudud)".(Utusan online-politik).Posted by abnmulya  /Bakar Ninggal.blogspot.com at 9.45 am on April 16,2014.

No comments: