Tuesday, April 15, 2014

Krisis di Ukraine meruncing

Penunjuk perasaan pro-Rusia yang memakai topeng gas, menyerbu sebuah balai polis ketika penunjuk perasaan lain menyediakan bom petrol di bandar Horlivka, timur Ukraine berhampiran Donetsk, kelmarin. - AFP 

KIEV 15 April - Anggota pemisah pro-Rusia mengabaikan kata dua supaya meninggalkan bangunan-bangunan kerajaan Ukraine yang ditawan di bahagian timur negara ini, sebaliknya terus merampas beberapa bangunan lain.

Keadaan itu sekali gus memperlihatkan kegagalan operasi antikerajaan oleh Ukraine sejak krisis itu bermula awal bulan ini.

Kumpulan bersenjata itu hari ini terus berkawal di sekurang-kurangnya sembilan buah bangunan di timur negara ini selain menggempur sebuah balai polis di Horlivka.

Tindakan itu dibuat selepas Ukraine mengugut untuk melancarkan tindakan ketenteraan sekiranya kumpulan tersebut enggan berundur daripada bangunan yang ditawan mereka sebelum pukul 2 petang, semalam. 

Dalam satu perbualan telefon malam tadi, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menggesa rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin untuk mendesak kumpulan-kumpulan pro-Moscow meletak senjata dan meninggalkan bangunan yang ditawan mereka. 

“Obama menekankan bahawa kumpulan pemisah pro-Rusia di Ukraine perlu meletak senjata dan beliau menggesa Putin menggunakan pengaruhnya supaya mendesak anggota bersenjata itu meninggalkan bangunan yang ditawan mereka," jelas White House dalam satu kenyataan.

Kremlin bagaimanapun menafikan sebarang pembabitan atau pengaruhnya ke atas kumpulan-kumpulan itu. 

Putin menegaskan, bantahan di Donetsk, Lugansk, Kharkiv, Slavyansk dan bandar-bandar lain di tenggara Ukraine berlaku akibat kurangnya kesungguhan dan ketidakmampuan kerajaan Ukraine mengambil kira kepentingan Rusia dan masyarakat etnik Rusia di situ.

Dalam perkembangan berasingan, pihak ketenteraan AS melaporkan bahawa sebuah jet pejuang Rusia berlegar-legar berhampiran sebuah kapal perang AS di Laut Hitam selama lebih 90 minit, Sabtu lalu di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu.

Jurucakap Pentagon, Kolonel Steve Warren berkata, jet jenis Sukhoi Su-24 itu membuat sebanyak 12 lintasan dan terbang pada ketinggian 900 meter dari atas kapal pemusnah USS Donald Cook selain terbang pada ketinggian kira-kira 150 meter dari paras laut.

Katanya, kapal perang AS mengeluarkan beberapa pertanyaan radio dan memberi amaran menggunakan litar kecemasan antarabangsa bagaimanapun jet itu langsung tidak memberi sebarang maklum balas. 

“Tindakan provokasi Rusia itu tidak selaras dengan protokol antarabangsa dan persetujuan sebelum ini tentang interaksi profesional di antara kedua-dua pihak," katanya. - AGENSI/AGENSI(Utusan online- Luar Negara).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.12 am on April 16,2014.

No comments: