Thursday, April 3, 2014

Pencarian paling sukar dalam sejarah manusia-Abbott

 PERTH 3 April - Kerajaan Australia menyifatkan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu adalah yang paling sukar dalam sejarah manusia.
Perdana Menteri Australia.Tony Abbott

Menurut Perdana Menterinya, Tony Abbott, gerakan mencari yang dijalankan oleh pelbagai negara termasuk Malaysia dan Australia itu turut menggunakan segala kelengkapan moden milik mereka bagi mengesan pesawat berkenaan.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang hampir dengan Malaysia, Australia turut bersimpati dan atas semangat tersebut, pihaknya berikrar akan terus menjalankan operasi pencarian di perairan Lautan Hindi selepas diberi tanggungjawab sebagai penyelaras operasi.

“Australia turut bersimpati dengan tragedi yang berlaku ke atas pesawat MH370. Ketika ini semua pihak menghadapi satu tempoh yang agak sukar kerana bagi saya operasi mencari pesawat ini merupakan satu usaha yang paling sukar dalam sejarah manusia.

“Sebagai sebuah negara yang turut membantu usaha mencari ini, Australia mengalu-alukan kedatangan semua pihak termasuk keluarga penumpang ke negara ini.

Kami tidak dapat memberi keyakinan dalam usaha pencarian ini tetapi kami mampu memberi jaminan bahawa gerakan mencari akan diteruskan," katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengadakan mesyuarat dua hala antara Australia dan Malaysia di Pejabat Perdana Menteri di Exchange Plaza di sini hari ini.

Abbott sebelum itu menerima kunjungan Najib bersama delegasi dari Malaysia dan melawat petugas operasi mencari pesawat MH370 yang berpusat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook dekat sini.

Menurut Abbott, selain Malaysia dan Australia, sebanyak tujuh buah negara terlibat dalam operasi mencari MH370 di perairan Lautan Hindi. - Utusan online-Dalam Negeri (Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 1442 hrs on Apriul 04,2014.

No comments: