Sunday, April 6, 2014

Semua pihak diminta teruskan doa pencarian

Prof.Madya Dr.Kamarul Arifin Ahmad
KUALA LUMPUR 6 April - Semua pihak diminta terus mendoakan keselamatan kesemua penumpang dan anak kapal MH370 dan tidak membuat sebarang kesimpulan liar berhubung nasib pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) berkenaan.

Pensyarah Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Kamarul Arifin Ahmad (gambar) berkata, selagi kotak hitam belum dijumpai dan seterusnya, siasatan terperinci dijalankan, semua pihak perlu bertanggungjawab terhadap sebarang pendapat masing-masing di media sosial. 

"Dakwaan-dakwaan (di media sosial) adalah cuma spekulasi, tiada petunjuk atau liar. Itu kita tak mahu, ia meresahkan keluarga dan menyusahkan penyiasatan... Kita perlu tunggu kotak hitam dan rekod penyelenggaraan pesawat dahulu.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Ia boleh ditemui tetapi bagaimana keadaan pesawat itu, kita tidak tahu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan masih menaruh harapan untuk menemui penumpang atau anak kapal pesawat MH370 yang kali terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi selamat biarpun peratusannya sangat tipis.

Beliau berkata, harapan masih ada berikutan operasi mencari dan menyelamat masih belum menemui sebarang objek serta maklumat sahih mengesahkan pesawat jenis Boeing 777-200 itu terhempas di lautan tersebut.

Dalam pada itu, bekas Penyiasat Kemalangan Udara Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) Amerika Syarikat (AS), Greg Feith percaya, permainan 'tuduh menuduh' sedang berlaku terutama terhadap salah seorang daripada dua juruterbang.

Perkara itu kerana terlalu banyak perbuatan secara sengaja terjadi terhadap pesawat itu terutama tindakan mematikan sistem komunikasi yang dilakukan tanpa sebarang penjelasan munasabah atau kebarangkalian kegagalan mekanikal.

Beliau dengan tegas turut menolak teori berlaku kebakaran, sama ada di bahagian elektronik atau melibatkan bateri litium yang berada di kargo sehingga menjejaskan penerbangan pesawat.


Feith juga menolak teori bahawa terdapat depressurization yang menyebabkan juruterbang hilang kawalan dan menyebabkan pesawat Boeing 777 itu untuk 'bersiar-siar' di ruang udara Teluk Thailand, Malaysia dan Selat Melaka sebelum membelok 3,000 batu ke selatan di Lautan Hindi sebelum kehabisan bahan api. 

"Apabila anda melihat pada cara semua sistem ditutup selepas komunikasi terakhir iaitu transponder dan kemudiannya Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) melakukan komunikasi 'ping' dengan satelit-satelit menunjukkan berlaku ‘campur tangan manusia’," katanya dalam satu wawancara bersama Leeham News baru-baru ini.(Utusna online-Dalam Negeri0.Posted by ab nmulya blogspot.com at 10.13 am on April 07,2014.

No comments: