Sunday, April 6, 2014

Undang-undanag lebih ketat cegah fitnah siber

KUALA LUMPUR 6 April - Satu rang undang-undang baharu atau pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mesti dilakukan bagi mengambil tindakan terhadap pengguna internet tidak bertanggungjawab terutamanya tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA) yang sering menyebarkan fitnah serta berita palsu.

Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia yang juga pengasas blog SYA For The Nation, Shen Yee Aun berkata, di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, penyebar fitnah di internet sukar disabitkan di mahkamah walaupun alamat protokol internet (IP) atau akaun media sosial yang melakukan kesalahan itu milik mereka.

Katanya, ini kerana mereka boleh memberikan alasan bahawa orang lain juga mempunyai akses terhadap komputer yang digunakan atau akaun media sosial seperti Facebook tersebut adalah palsu atau telah diceroboh.

"Semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu bersatu menghantar satu resolusi di Dewan Rakyat supaya kita mempunyai satu akta perundangan untuk menangkap dan mendakwa pengguna internet yang menyebarkan fitnah.

"Isu ini tidak ada kaitan dengan hendak mengawal kebebasan media kerana kalau sampai mengancam individu serta negara, keganasan internet ini bukan kebebasan sebenarnya. Ini merupakan satu kesalahan walau di mana-mana negara seperti Amerika Syarikat, Singapura dan China yang mempunyai undang-undang untuk menangkap pengguna internet tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yee Aun berkata, DAP yang menafikan menjadi dalang kepada RBA, juga boleh mengetuai usaha menghantar resolusi itu sekiranya parti itu benar-benar menentang fitnah di alam siber.

"Selain itu, kalau DAP tidak ada kaitan atau melindungi RBA, parti itu perlu membuat laporan polis terhadap laman-laman media sosial propembangkang yang menabur fitnah terhadap kerajaan dan memburuk-burukkan negara," katanya.

Di samping itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) mencari satu kaedah supaya setiap akaun laman media sosial perlu didaftarkan supaya pemilik akaun itu akan dipertanggungjawabkan jika kesalahan siber dilakukan.

Katanya, misalnya, pendaftaran sesuatu akaun laman media sosial itu perlu disahkan melalui telefon bimbit pemilik akaun tersebut.

Dalam pada itu, Yee Aun mendesak Kementerian Dalam Negeri, polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat pendedahan oleh Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mengenai 800 nama anggota Red Bean Army yang dibayar dengan gaji RM3,000 sebulan bagi membodohkan orang awam dengan pelbagai provokasi memburuk-burukkan kerajaan.

"Presiden PMSP, Ramesh Rao Krishna Naidu juga ada menyatakan aktiviti RBA itu dibiayai oleh 20 syarikat yang mempunyai projek besar di Selangor dan Kuala Lumpur. Kita minta kerajaan siasat dan dedahkan 20 syarikat itu," katanya.

Sementara itu, pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim berkata, ramai rakyat tertanya-tanya kenapa RBA kebal dan masih tiada tindakan walaupun senarai nama tentera siber propembangkang sudah diserahkan pihak berkuasa serta puluhan laporan polis dibuat.(Utusan online-Dalam Negrri).Posted b y abnmulya /Bakar N inggal.blogspot.com at 9.46 am on April 07,2014.

No comments: