Thursday, May 15, 2014

ANWAR DIJANGKA BUAT KENYATAAN RASMI PEMILIHAN SEMULA

SHAH ALAM 15 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat kenyataan rasmi tidak lama lagi mengenai tarikh pemilihan semula 12 cabang PKR Selangor yang ditangguhkan pemilihannya.
Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR negeri malam tadi bagi membincangkan tata cara pengundian dan penyeragaman tempat-tempat pengundian untuk pemilihan semula cabang PKR Selangor.

Menurut beliau, mesyuarat itu turut memutuskan supaya semua ahli PKR negeri menutup mulut dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

"Kita telah buat ketetapan dengan Biro Politik PKR Pusat, di mana hari ini atau esok Penasihat PKR akan membuat kenyataan rasmi mengenai isu pemilihan semula cabang PKR Selangor yang ditangguhkan.

"Orang lain tidak digalakkan untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan, hanya selepas Anwar buat (kenyataan), ahli biro politik lain dibenarkan memberi komen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan sempena Malaysian Women Marathon 2014 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, pemilihan PKR yang berlangsung di Selangor menyaksikan 12 daripada 22 cabang parti itu terpaksa dibatalkan ekoran bantahan daripada ahli yang mendakwa proses tersebut tidak telus dan wujud unsur penipuan.

Cabang PKR yang membatalkan pemilihannya adalah Shah Alam, Subang, Klang, Kapar, Kota Raja, Sabak Bernam, Sungai Besar, Sepang, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Selayang termasuk kawasan Abdul Khalid sendiri iaitu Kuala Selangor.

Sementara itu, beliau memberitahu, peguamnya telah menghantar notis tuntutan saman kepada calon Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, S. Manikavasagam yang didakwa melanggar etika kerana membuat kenyataan berhubung pemberian wang RM50 kepada ahli PKR untuk mengundinya.(UTUSAN ONLINE-POLITIK).POSTED BY ABNMULYA /BAKAR NINGGAL.BLOGSPOT.COM.AT 9.56 AM ON MEI 16,2014.

No comments: