Friday, May 2, 2014

Hudud : Setuju tubuh jawatankuasa teknikal



Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN 
rodelio.taucan@utusan.com.my Jamil Khir 

Menteri di Jabatan Perdana
Menteri,Datuk Seri Jamil Khir Bahrom
KUALA LUMPUR 2 Mei - Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan sepakat menubuhkan satu jawatankuasa teknikal khas peringkat kebangsaan bagi memastikan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau hudud dapat dilaksanakan di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jawatankuasa tersebut yang akan dibentuk tidak lama lagi berperanan mengkaji peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memberi penerangan kepada semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam mengenai pelaksanaannya.

Menurut beliau, keanggotaannya masih belum diputuskan namun mengesahkan ia tidak melibatkan pemimpin politik manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dilantik sebagai urusetia.

“Kita melihat jenayah syariah Islam ini dapat dilaksanakan dengan bukan hanya sekadar pelaksanaan tetapi mengambil kira juga kebijaksanaan dan juga keadilan bagi umat Islam dalam pelaksanaannya.

“Kita juga mengambil kira peruntukan Perlembagaan dan masyarakat bukan Islam yang berada di Malaysia supaya keindahan jenayah syariah Islam ini dapat menjadi satu titik permulaan yang begitu baik bukannya tomahan atau sebagainya," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyampaikan hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum syariah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan kerja ke Kelantan pada 27 April lalu mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal khas mengenai hudud membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan.

Menurut Muhyiddin, menerusi perbincangan dalam bentuk lebih sistematik, hudud dapat dikaji dengan teliti sekali gus membantu semua pihak melihat situasi sebenar sebelum memutuskan untuk membawa usul mengenainya ke Dewan Rakyat.

Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawantakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II 1993 negeri Kelantan berkata, kunjungan beliau juga bagi membincangkan mengenai perkara dan langkah-langkah yang boleh diambil terhadap penubuhan jawatankuasa itu.

“Kami telah berbincang beberapa langkah dan perkara dan kunjungan saya pada hari ini ialah menyatakan secara rasmi kepada pihak Kerajaan Persekutuan tentang hasrat serta cadangan-cadangan kami.

“Bila Pusat berhasrat mewujudkan jawatankuasa teknikal di peringkat kebangsaan maka kami menyambut baik cadangan itu dan mudah-mudahan ini boleh membantu dalam usaha melaksanakan hukum hudud di Kelantan," katanya.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.06 am on Mei 03,2014.

No comments: