Sunday, May 4, 2014

' MACAM SUDAH BOLEH BACA'

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
sukan@utusan.com.my

Tunku Ismail Sultan Ibrahim Johor Bahr 
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih enggan menyatakan pendiriannya sama ada akan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau tidak pada pemilihan 25 Mei ini kerana beliau percaya, apa yang bakal berlaku seakan sudah boleh dibaca.

Tunku Mahkota Johor itu berkata, beliau kurang berminat untuk bertan­ding kerana bagaikan sudah dapat menjangka keputusan pemilihan tersebut.

“Bukan saya ingin tarik diri, cuma tidak berminat kerana tahu apa yang akan terjadi nanti. Sebab itulah saya tidak berharap sangat dan terhegeh-hegeh untuk menjadi Presiden FAM sebaliknya mengutamakan perkembangan bola sepak negeri Johor.

“Saya juga tahu, tidak ramai orang lama dalam FAM yang mahukan saya ada dalam persatuan," katanya pada majlis memperkenalkan pemain import baharu JDT di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini semalam.

Menurut Tunku Ismail, ramai yang mengatakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah paling layak meme­gang jawatan berkenaan kerana lebih berpengalaman dalam memimpin badan induk bola sepak Malaysia itu.

Bagaimanapun beliau berpendapat bahawa pe­ngalaman bukan kriteria utama, sebaliknya sikap dedikasi merupakan lebih mustahak dalam membawa perubahan kepada kemajuan bola sepak negara. “Saya setuju saya masih muda dan banyak perlu belajar.

Namun pada pandangan saya, bukan dari segi pengalaman tetapi dari dedikasi dan pengorbanan itu lebih mustahak. “Jika masih dipegang oleh barisan pengurusan tertinggi FAM yang sama, ia tidak akan memperlihatkan sebarang perubahan," kata beliau lagi.

Ujar Tunku Ismail lagi, jika di­pilih sebagai Presiden FAM, beliau akan berusaha membawa perubahan besar dalam perkembangan bola sepak tanah air.

"“Kita akan lihat pembangunan akademi, kita akan tengok pengadilan yang profesional, menyediakan peruntukan yang mencukupi dan memberi fokus dalam meningkatkan standard kemudahan sukan bola sepak," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kehadiran pada pemilihan tersebut, beliau menyatakan ia bergantung kepada situasi pada waktu itu. “Tengoklah keadaan macam mana. Kalau saya pergi, saya pergi...

"Kalau saya tidak pergi, saya tidak. Saya tak boleh bagi jawapan yang tepat apa yang saya akan buat," katanya lagi.( Utusan online -suklan tempatan).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.48 am on  Mei -05,2014.

No comments: