Tuesday, June 3, 2014

Jakim sahkan tiada DNA babi

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Jun - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan dua sampel produk coklat keluaran syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury) yang diambil terus daripada kilang syarikat itu dikesan tidak mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine).

Produk berkenaan adalah coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond).

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom selepas keputusan ujian yang dijalankan terhadap dua sampel coklat berkenaan diterima pagi ini.

"Pada 26 Mei lalu, kita telah menghantar sampel dua coklat yang diambil daripada kilang Cadbury dan terus dihantar ke makmal di Ibu Pejabat Jabatan Kimia di Petaling Jaya. Makmal itu adalah yang telah akreditasikan Jakim untuk menguji DNA babi dan keputusannya adalah tiada DNA babi dikesan dalam dua produk berkenaan dan halal dimakan umat Islam.

"Kedua-dua sampel yang dihantar kepada makmal kimia itu telah diambil dalam kumpulan dan nombor kod sama seperti dianalisa oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini yang dikatakan terdapat DNA babi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penulisan Kelas KAFA (UPKK) dan Penyerahan Surat Tawaran Geran Tahunan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) - Jakim 2014 di Institut Latihan Islam Malaysia di Bangi hari ini.

Sebelum ini, umat Islam di negara ini dikejutkan dengan penemuan DNA babi dalam dua produk Cadbury tersebut apabila Kementerian Kesihatan memaklumkan perkara berkenaan selepas menjalankan ujian terhadap produk berkenaan bagi tujuan pemantauan.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa berlaku percanggahan dalam hasil ujian yang dilakukan kedua-dua pihak, Jamil Khir berkata, ada kemungkinan sampel yang diuji makmal Kementerian Kesihatan telah tercemar dari pelbagai sudut.

Beliau tidak menolak kemungkinan makmal kementerian itu juga boleh menemukan DNA babi, namun makmal tersebut tidak diakreditasikan untuk menguji DNA.

"Kita tidak menolak makmal kementerian ada ruang untuk menemukan DNA babi tetapi pengesahan yang sah hanya boleh dikeluarkan melalui makmal di bawah Jakim sahaja dan kita amat hargai usaha Kementerian Kesihatan itu namun sampel yang mereka ambil bukan terus daripada kilang dan mungkin telah berlaku pencemaran sama ada dalam keadaan tidak sengaja atau sebaliknya.

"DNA babi ini sangat mudah untuk tercemar misalnya jika seseorang itu makan daging babi dan bersin pada makanan yang tiada unsur berkenaan, maka makanan itu juga apabila diuji akan terdapat DNA haiwan berkenaan.

"Oleh itu, bagi mengelakkan kekeliruan pada masa depan, pihak lain tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan tentang halal atau tidak sesebuah produk melainkan Jakim yang merupakan jabatan yang ditugaskan berbuat demikian," jelasnya.

Dalam pada itu, Jamil Khir turut menegaskan kerajaan tidak berhasrat menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan isu berkenaan bagi melindungi syarikat Cadbury kerana ia berkaitan soal haram yang merupakan isu sensitif kepada umat Islam.

"Soal haram ini menjadi tanggungjawab dan kewajipan umat Islam untuk menolaknya kerana dosanya terlalu besar untuk kita tanggung dan sebab itu hari ini kita terus maklumkan kepada umum selepas kita menerima keputusan ini pagi tadi.

"Jakim juga telah mewujudkan satu talian bagi membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat dengan lebih jelas tentang isu itu memandangkan wujud pelbagai maklumat di media baharu tentang isu ini sehinggakan ada yang mendakwa kod yang bermula dengan 'E' terdapat DNA babi dan sebagainya namun itu adalah tidak benar," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat tentang perkara berkenaan boleh menghubungi di talian 03-8892 5048/8892 5078/8892 5032 dan 8892 5031.(Utusan online-Berita Utama).Posted by abnmulya at 2139 hrs on JUne 03,2014.





No comments: