Thursday, July 24, 2014

KUTUK PENEMBAK PESAWAT

Rakyat Malaysia, Dr. Nazam Dzolkarnaini memegang sepanduk Justice for MH370 & MH17 semasa majlis pembukaan Sukan Komanwel kali ke-20 di Glasgow, semalam. 

KUALA LUMPUR 24 Julai - Mesyuarat Kementerian Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN (EU-ASEAN) kali ke-20 di Brussels, Belgium yang berakhir semalam mengutuk sekeras-kerasnya penembakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Khamis lalu yang membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.

Berikutan itu, EU-ASEAN mengalu-alukan langkah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggunakan Resolusi 2166 badan dunia berkenaan susulan insiden MH17 dan berharap ia diaplikasikan sepenuhnya.

"Semua menteri melahirkan rasa terkejut dan marah terhadap kematian tragik kesemua 298 orang daripada pelbagai negara di dalam penerbangan itu. Mereka merakamkan rasa simpati dan takziah kepada semua yang terjejas terutama ahli keluarga mangsa.

"Mesyuarat berkenaan mendesak satu siasatan antarabangsa dibuat segera, penuh, menyeluruh, telus dan bebas berpandukan garis panduan penerbangan awam serta meminta semua pihak yang berkepentingan di kawasan nahas memberi kerjasama sepenuhnya," kata EU-ASEAN dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Menurut EU-ASEAN, semua pihak perlu memberi kerjasama penuh merangkumi jaminan keselamatan, kawasan nahas yang tidak diganggu serta sokongan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan pasukan siasatan antarabangsa yang dilantik.

Dalam kenyataan itu, EU-ASEAN meminta pasukan bersenjata yang menguasai lokasi nahas perlu dihalang daripada melakukan pemeriksaan untuk memastikan integriti kawasan tersebut tidak dicemari oleh perkara-perkara asing.

"Kami menegaskan, urusan pengeluaran kesemua mayat mangsa dijalankan segera dengan penuh bermaruah, rasa hormat dan sikap profesional oleh pihak berwajib.

"Semua aktiviti ketenteraan termasuk oleh kumpulan bersenjata dihentikan segera di lokasi berkenaan demi keselamatan pasukan siasatan dan kesemua pihak digesa memberi bantuan sehingga urusan itu selesai," katanya.

Menurut EU-ASEAN, pihak yang menjadi punca terhadap nahas MH17 perlu dibawa ke muka pengadilan dan dibicarakan untuk memastikan mereka bertanggungjawab terhadap tindakan tersebut.

Gabungan tersebut menambah, nahas MH17 adalah bukti pelbagai pertikaian yang berlaku di seluruh dunia memberi ancaman kepada keselamatan sejagat serta boleh meragut nyawa yang tidak berdosa dalam kejadian tragik dan tidak masuk akal.

"Kami menyeru semua pihak menghentikan kematian yang tidak masuk akal ini. EU-ASEAN menyeru gencatan senjata segera daripada semua pihak dan usaha bersungguh-sungguh untuk menghentikan konflik di kawasan itu," katanya.( Utusan online-dalam negeri).Posted by  abnmulya / Abu Bakar Ninggal. blogspot. com.at 1402 hrs on July 25,2014.

No comments: