Thursday, August 21, 2014

JOKOWI KEKAL PRESIDEN INDONESIA

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

Polis Indonesia terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan melepaskan tembakan air bagi menyuraikan penyokong Prabowo-Hatta yang bertindak ganas di luar Mahkamah Perlembagaan di Jakarta, semalam. - REUTERS 

JAKARTA 21 Ogos - Mahkamah Perlembagaan Indonesia hari ini menolak dakwaan penipuan dikemukakan Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa dalam Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014 lalu, sekali gus mengekalkan kemenangan kepada pasangan Joko Widodo (Jokowi)-Jusuf Kalla sebagai Presiden dan Naib Presiden negara ini.

Joko Widodo (Jokowi) (kiri) dan Jusof Kalla ( kanan),bakal Presiden dan Timbalan Presiden baharu Indonesia.
Keputusan itu bakal menyaksikan Jokowi mengangkat sumpah sebagai pemimpin baharu Indonesia menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono pada 20 Oktober ini.

"Kesemua sembilan orang hakim sebulat suara menolak permohonan Prabowo. Keputusan ini tidak boleh dirayu," kata Ketua Mahkamah Perlembagaan, Hamdan Zoelva.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) bulan lalu mengumumkan kemenangan Jokowi selepas beliau meraih hampir 8.5 juta undi atau lebih 53 peratus dalam Pilpres paling sengit dalam sejarah negara ini.
Prabowo pula hanya menerima 46.8 peratus atau 62.2 juta undi.

Terdahulu, ribuan penyokong Prabowo-Hatta, lari bertempiaran menyelamatkan diri selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka di sini hari ini.

Kesemua penyokong Prabowo-Hatta itu berhimpun di hadapan bangunan Mahkamah Perlembagaan (MK) bagi mendengar penghakiman kes Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014 yang bermula pukul 2.30 petang.

Polis terpaksa bertindak sedemikian bagi meleraikan para penyokong Prabowo yang bertindak ganas memecah kawat besi di luar bangunan MK di sekitar kawasan Patung Arjuna Wijaya atau Patung Kuda di Jalan MH Thamrin-Jalan Merdeka Barat sebelum mahkamah bersidang.

Dalam rusuhan itu juga, sejumlah penyokong Prabowo-Hatta dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital.
Dianggarkan seramai 50,000 anggota polis dan tentera dikerahkan berjaga-jaga untuk mengawal keselamatan di ibu kota bagi memastikan tiada sebarang keganasan tercetus.

Media-media Indonesia melaporkan, Prabowo dijangka enggan menerima keputusan itu.( Utusan online-luar negara).Posted by ab nmulya / abu bakar ninggal.blogspot.com.at 10.10 am on August 22,2014.

No comments: