Monday, September 22, 2014

Prsiden Pas wajar marah,tegas dengan PKR,DAP

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Kemarahan dan kekecewaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Selangor ekoran tindakan mereka seperti 'broker' dan 'barua' adalah wajar kerana Pas sering 'ditikam belakang', dianiaya dan ditipu oleh kedua-dua rakan tahaluf siyasi parti itu.

Aktivis Pas, Norman Toha berkata, sebagai Presiden Pas, parti yang memperjuangkan agama Islam, sudah pasti Abdul Hadi amat sensitif terhadap pengkhianatan rakan-rakan seperjuangannya itu yang selama ini diberi kepercayaan.

"Sepanjang saya kenal Tuan Guru Presiden sebelum ini, beliau tidak pernah mengucapkan kata-kata seperti itu (broker dan barua) kepada ahli-ahli dan pimpinan Pas. Apabila itu berlaku, saya menjangkakan beliau memang berada dalam keadaan yang sangat marah kerana dianiaya dan ditipu oleh rakan tahaluf siyasi.

"Saya faham dan maklum, peristiwa 'tikam belakang' ini bukan baru sekali berlaku tetapi telah berkali-kali terjadi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menegaskan, Pas yang mempunyai kelebihan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak pelahap dengan jawatan Menteri Besar namun meminta isu itu diselesaikan melalui hukum-hukum syarak yang ditetapkan selain turut menggelar dua ADUN Pas Selangor yang menyokong Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dilantik sebagai Menteri Besar oleh PKR dan DAP sebagai 'broker' dan 'barua'.

Mengulas tentang kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor, Norman berkata, dalam soal memilih calon untuk mengisi jawatan itu, Pas layak menentukan siapa pilihan mereka namun tidak bermakna mereka pelahap.

"Pas ada tanggungjawab terhadap Allah, bukan sahaja tanggungjawab kepada rakan-rakan tahaluf siyasi dan rakyat yang diwakilinya.

"Pas boleh akur PKR mahu menjadi Menteri Besar Selangor walaupun persetujuan awal dan tidak tertulis mana-mana parti yang dapat majoriti kerusi lebih, layak jadi Menteri Besar. Senang cerita kalau PKR hendak sangat jawatan itu, ambillah," katanya.

Dalam pada itu, Norman berkata, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja 'menggunakan' jentera, ahli serta imej Islam Pas untuk meraih sokongan rakyat malah dilihat cuba melahirkan 'barua-barua' beliau dalam kepimpinan parti itu.

"Jadi, cara terbaik ialah dengan memberikan kefahaman kepada seluruh ahli serta kepimpinan Pas tentang asas dan maksud perjuangan parti serta kebenaran tahaluf siyasi yang dibenarkan di dalam agama Islam," katanya( Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Abu bakar ninggal.blogspot.com.at 8.45 am on Sept.,23,2014..

No comments: