Kemenangan 3-1 ke atas The Fighters pada separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menggembirakan penyokong Harimau Selatan, yang kali terakhir melihat pasukan mereka layak ke final kejohanan berprestij itu menerusi skuad negeri, Johor pada 1991.
Johor menjuarai Piala Malaysia ketika itu selepas menewaskan Selangor 3-1.
Kemenangan ini juga merupakan hadiah istimewa buat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang selamat diijab kabul, kelmarin.
Tunku Ismail turut berada di stadium untuk menyaksikan kemenangan manis pasukannya.
Dalam perlawanan semalam, skuad kendalian Bojak Hodak itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Luciano Figueroa pada minit ke-29.
Sepakan percuma yang diambil Figueroa dari jarak 25 meter melepasi benteng lawan dan menerjah ke penjuru kanan gawang menewaskan Mohd. Farizal Harun.
Biarpun ketinggalan, The Fighters tidak mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35.
Makeche Ndumba menewaskan kawalan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak dan melakukan hantaran untuk disempurnakan Mohd. Raimi Mohd. Noor.
Figueroa bagaimanapun meledak gol kedua JDT apabila menanduk hantaran lintang Pereyra Diaz pada minit ke-63.
JDT melebarkan kedudukan pada minit ke-72 menerusi jaringan Amri Yahyah yang mendapat umpanan cantik daripada Diaz dan melakukan rembatan deras menewaskan penjaga gol.
Kedua-dua pasukan berbalas serangan namun kedudukan kekal 3-1 hingga ke wisel penamat.
Kem Harimau Selatan menerima tamparan apabila Aidil Zafuan dan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi terlepas aksi final menentang juara bertahan, Pahang pada 1 November ini.
Aidil Zafuan mengutip kad kuning pada minit ke-67 setelah menjatuhkan Ndumba sementara Mohd. Nazrin dilayangkan kad merah setelah bertengkar dengan pemain Felda yang mengasarinya, Abdul Latiff Suhaimi pada minit ke-90.(Utusan online-Sukan tempatan). Posted by abnmulya  / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.31 noon on Oct.,26,2014.