PULAU PINANG 16 Okt. - Keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang yang pantas meluluskan projek komersial bernilai RM1.2 bilion di Bayan Baru di sini, menimbulkan persoalan tentang dasar kebajikan untuk rakyat seperti sering dicanangkan mereka sebelum ini.
Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, ini kerana selain tidak membina rumah mampu milik untuk rakyat, kerajaan negeri sebelum ini juga dilihat seolah-olah menghalang agensi kerajaan Pusat yang mahu melaksanakan projek berkenaan.
Menurutnya, majoriti rakyat tidak berminat dengan projek mega sebaliknya mahu kerajaan negeri membina rumah mampu milik kerana perkara itu merupakan keperluan mendesak ketika ini.
"Kita amat meragui projek mewah berkenaan yang akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi dan Inovasi Singapura (EBIS) kerana jika dilihat daripada konsep pembangunan, pada masa hadapan kawasan itu akan dipenuhi pengundi elit dan kaya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rahmad berkata demikian sebagai mengulas desakan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) yang mahukan kerajaan DAP Pulau Pinang mengutamakan kebajikan rakyat dengan membina rumah mampu milik berbanding memberi keutamaan kepada projek mewah yang menguntungkan pemaju sahaja.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman mendedahkan, beberapa agensi kerajaan Pusat yang mahu membina rumah mampu milik di negeri ini berdepan pelbagai halangan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Malah, menurut Zainal Abidin, ada pelan yang dikemukakan pernah ditolak sebanyak 28 kali dengan pelbagai alasan walaupun telah mematuhi piawaian.
Berkenaan projek mewah di Bayan Baru, menurut Rahmad, banyak persoalan timbul tentang bentuk pembangunan yang mahu dilaksanakan antaranya sama ada mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri sendiri.
Katanya, jika projek itu bakal mengubah landskap Bayan Baru, maka rakyat wajar dimaklumkan tentang kriteria projek tersebut sama ada mengandungi kuota 30 peratus rumah kos sederhana atau sebaliknya.
"Selain itu, rakyat juga perlu dimaklumkan sama ada kemudahan awam seperti tapak masjid dan rumah ibadat lain serta tapak sekolah seperti yang terkandung dalam garis panduan pembangunan negeri turut dipatuhi," katanya.(Utuisan online-politik).Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 12.53 noon on Okt.,17,2014.
No comments:
Post a Comment