Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ( gambar kanan). berkata, perkara sensitif berkenaan berkaitan agama, kaum dan institusi raja yang menjadi tiang seri negara ini dan hasil perbahasan tersebut akan dijadikan pendirian parti.
Katanya, semua perkara tersebut akan dibawakan beliau selepas Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini melantiknya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap serta Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO sempena perhimpunan itu.
“Dalam perkara yang dibincangkan khalayak ramai, adalah penting untuk UMNO mempunyai pendirian sama ada berkaitan Akta Hasutan, perkauman atau keagamaan, menyentuh institusi dan tiang seri pembinaan negara bangsa, institusi raja dan kedudukan orang Melayu.
“Langkah ini penting bagi memastikan semua perkara itu tidak terus dipolemikkan sehingga menimbulkan perpecahan antara kaum,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Muafakat Johor di Dewan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) Taman Seri Lambak, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; isterinya, Datin Seri Rosni Omar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, Konvensyen UMNO Johor yang berlangsung awal bulan depan akan menjadi medium parti mengumpul pelbagai pandangan serta usul kerana suara di peringkat akar umbi adalah amat penting untuk didengari.
“Cara berkenaan sudah menjadi amalan serta tradisi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu, kita yakin dengan maklum balas yang akan diterima dalam konteks negara majmuk. Konteks ini mesti dilihat sama ada Perlembagaan sedia ada mencukupi atau tidak.
“Akta Hasutan tidak semestinya dihapuskan, sebaliknya boleh ditambah baik atau ditambah dan ditukar akta baharu. Apa yang penting suara akar umbi yang tidak beremosi, tidak berbaur perkauman dan keagamaan, inilah yang membezakan kepemimpinan UMNO dan BN sejak merdeka lagi,” katanya.( Utusan online-politik).Ppsted by abnmulya /Abu bakar Ninggal.blogspot.com., at 1709 hrs on Oct.,27,2014..