Pada tarikh tersebut, Mahkamah Persekutuan akan memuktamadkan rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat keduanya membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Anwar Ibrahim
Pada tarikh tersebut juga, umum bakal mengetahui sama ada Anwar akan dipenjara, dibebaskan daripada sabitan dan hukuman atas pertuduhan meliwat buat kali kedua atau kes itu dibicarakan semula (sekiranya mahkamah mendapati terdapat kekhilafan yang teruk).
Mahkamah Persekutuan juga boleh mengekalkan sabitan salah dan meminda hukuman penjara lima tahun yang telah dijatuhkan (sama ada mengurangkan atau menambah tempoh pemenjaraan. Tempoh penjara maksimum bagi kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan ialah penjara 20 tahun dan sebat).
Makluman berhubung tarikh keputusan rayuan tersebut diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan melalui laman sosial Twitter rasminya, @MYJudiciary kira-kira pukul 12.03 tengah hari sebelum disusuli dengan siaran akhbar oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada sebelah petang.
Notis rasmi mengenai perkara tersebut juga telah dihantar melalui faksimile oleh mahkamah kepada pihak-pihak terlibat sekitar waktu sama.
Peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu menerima notis terbabit lewat pagi tadi manakala peguam, Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar mengesahkan penerimaan notis berkenaan pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Rayuan akhir Ahli Parlimen Permatang Pauh itu telah didengar selama lapan hari bermula 28 Oktober hingga 7 November tahun lalu di hadapan panel lima hakim mahkamah tertinggi negara diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu nanti adalah muktamad dan tidak boleh dikemukakan ra­yuan lagi.
Sekiranya gagal dalam rayuannya, Anwar akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen sebagaimana Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhkan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda lebih daripada RM2,000.
Sementara itu, Anwar dalam kenyataan akhbarnya meluahkan rasa optimis akan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan itu berdasarkan hujah ‘perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan’ oleh barisan 14 peguamnya.
“Fitnah tidak wajar dijadikan alat dalam tinju politik dan diberi ruang untuk memporak-perandakan negara.
“Saya panjatkan doa pada Allah Yang Maha Esa agar keadilan dapat ditegakkan dan saya dibebaskan,” katanya lagi.
Anwar, 68, memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 30, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.
Pada 7 Mac 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Balia Wahi Yusof yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebulat suara mendapati Anwar bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.
Mereka memutuskan demikian selepas mendapati Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa integriti bahan bukti yang diletakkan di dalam 11 botol sampel berlainan telah tercemar.
Bahan bukti itu sebelum ini didakwa tercemar apabila beg plastik yang digunakan untuk menempatkan kesemua sampel itu digunting di bahagian bawahnya oleh bekas pegawai penyiasat, Superintenden Judy Blacious Pereira.(Utusan online-).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at1340 hrs on Jan-27,2015.