Ainol Amriz Ismail
January 29,2015 at 1.28am.
SEREMBAN 28 Jan. - Kerajaan negeri bersyukur selepas berjaya mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap perintah Mahkamah Rayuan yang memutuskan undang-undang syariah negeri yang menghalang kaum lelaki berpakaian wanita di tempat awam sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

MOHAMAD HASAN
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pandangan kerajaan itu dalam membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan telah diperhalusi dan dipertimbangkan sebaik mungkin oleh panel hakim.
“Alhamdullilah, maknanya kita telah pun mengemukakan pandangan untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dan dibenarkan, sekali gus menunjukkan kita ada kes untuk dibawa.
“Bukan semua pihak boleh merayu atau membawa kes ke Mahkamah Persekutuan kerana panel hakim akan terlebih dahulu memerhatikan secara teliti sama ada wujud merit atau tidak untuk diperdengarkan rayuan berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.
Mohamad diminta mengulas perkembangan itu selepas panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian secara sebulat suara ketika bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim, semalam.
Kata Mohamad, pada peringkat ini selepas wujud merit atau kes untuk dibawa, maka Pendaftar Mahkamah Persekutuan akan menentukan tarikh untuk mendengar kes pula.
“Bagi saya, dengan kebenaran panel hakim untuk kerajaan negeri membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan, bermakna kita ada merit atau kes. Jika tidak, tentulah permohonan itu ditolak.
“Baguslah perkara itu akan dapat menjaga kepentingan yang tertentu,” tegas Mohamad.
Dalam keputusan panel lima hakim semalam, antaranya memerintahkan semua pihak terlibat menjawab persoalan yang akan menjadi teras kepada rayuan tersebut.
Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 yang melarang kaum lelaki memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam bertentangan dengan lima Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kelima-lima Perkara itu adalah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan (hak rakyat untuk hidup dan kebebasan diri); Perkara 8(1) dan (2) (perlindungan sama rata tanpa mengambil kira agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina); Perkara 9 (hak untuk bergerak dengan bebas) dan Perkara 10(1)(a) (hak untuk bercakap dan bersuara).
Kerajaan Negeri Sembilan diwakili peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang merupakan pemohon di dalam rayuan tersebut.
Yang turut disenaraikan sebagai pemohon adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai peguat kuasa syariah dan ketua pendakwa raya syariah.
Panel itu juga membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah untuk menjadi pencelah dalam rayuan itu.(Utusan online-),Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.51 am on Jan--2015.
No comments:
Post a Comment