Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia telah menyatakan pendirian jelas mengutuk serangan ganas tersebut, namun itu tidak bermaksud negara menyokong perbuatan atau penerbitan yang menghina agama lain.
“Bila kita melihat soal kebebasan bersuara dan kebebasan media di negara-negara barat, mereka seolah-olah tiada batasan dan bebas untuk menerbitkan apa sahaja termasuk terbitan yang menghina agama lain dan menghina orang lain.
“Walaupun kita mengutuk pembunuhan itu, tidak bermakna kita menyokong apa yang ditulis atau apa yang dilukis (oleh akhbar Charlie Hebdo), ada terdapat hashtag di dalam Twitter yang menyatakan solidariti kepada mereka yang terbunuh tetapi saya rasa ini memberi mesej kurang jelas seolah-olah kita menyokong kebebasan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kepemimpinan Asia 2015 di Universiti Sunway dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Pro-Canselor Universiti Sunway, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam; Pengarah Eksekutif Kanan Kumpulan Pendidikan Sunway dan Universiti Sunway, Dr. Elizabeth Lee dan Presiden Asia Leadership Trek, Samuel Kim.
Dalam kejadian pada 7 Januari lalu, sebanyak 12 orang terkorban selepas tiga lelaki yang dilengkapi senapang jenis Kalashnikovs dan pelancar peluru berpandu menyerang pejabat Charlie Hebdo.
Pada November 2011, pejabat akhbar berkenaan pernah dibom selepas menerbitkan karikatur Nabi Muhammad SAW dengan menggunakan tajuk Charia Hebdo.
Menurut Khairy, kebebasan bersuara perlu memiliki hadnya sebagaimana wujudnya undang-undang di Malaysia yang melarang perbuatan menghina agama lain dan pendirian mengutuk keganasan mesti seiring dengan rasa hormat terhadap agama lain.
“Dengan rasa simpati ke atas apa yang berlaku, Perancis memang mempunyai kebebasan untuk golongan kartunis menghina agama lain tetapi pemakaian hijab di sekolah-sekolah di negara itu tidak pula dibenarkan, jadi di manakah kebebasannya? Tidak wajar berlakunya hipokrasi, mereka mesti konsisten,” katanya.
Dalam pada itu, jelas Khairy, kerajaan Malaysia sedang bersiap sedia untuk menghadapi situasi ‘krisis tanpa krisis’ ekoran harga minyak dunia yang merudum, nilai mata wang ringgit Malaysia yang jatuh drastik berbanding dolar Amerika Syarikat serta pemulihan Kelantan selepas banjir yang memerlukan ratusan juta ringgit.( Utusan online-)Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal. blogspot. com.at 11.29 am on Jan-11,2015