Thursday, February 5, 2015

Eric Paulsen didakwa

Mengaku tidak bersalah tuduhan menghasut

06 Februari 2015 2:07 AM
Eric Paulsen

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Peguam, Eric Paulsen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerbitkan kenyataan menghasut berhubung dakwaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi fahaman ekstremis di negara ini.

Eric, 42, yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty didakwa menerbitkan kenyataan itu dalam laman sosial Twitter miliknya di https://twitter.com/ericpaulsen101.

Kenyataannya itu menyebut ‘JAKIM is promoting extremism every Friday. Govt., needs to address that if serious about extremism in Msia’ (Jakim sedang mempromosi fahaman ekstremis setiap Jumaat.

Kerajaan perlu sedar jika serius tentang fahaman ekstremis di Malaysia). Perbuatan itu didakwa dilakukannya di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di sini kira-kira pukul 8 malam, 10 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengemukakan pertuduhan terhadap lelaki itu mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama. 

Wan Shaharuddin mencadangkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin namun peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Eric memohon agar anak guamnya itu tidak dikenakan syarat yang berlebihan dan memberi jaminan akan hadir ke mahkamah bagi setiap prosiding kes tersebut.

Hakim Abdul Rashid Daud kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

Eric yang menimbulkan kemarahan umat Islam berikutan kenyataannya itu turut menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Mufti Kelantan,

Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menyifatkannya sebagai seorang yang biadab dan cuba melakukan provokasi terhadap umat Islam. peguam itu juga pernah menerima ugutan bunuh akibat kenyataan tersebut dan telah membuat laporan polis namun dalam masa yang sama dia tetap mempertahankan kenyataannya itu.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya  /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.43 noon on Feb-06,2015.

No comments: