SUNGAI PETANI 17 Feb. – Empat anak muda yang mengancam menyerang mahkamah sebagai bantahan terhadap sistem keadilan negara melalui video yang menjadi viral di internet semalam, perlu bersedia diburu polis yang mengesahkan sudah membuka kertas siasatan terhadap kes itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen dan Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Memang kami sedang siasat siapa dalang di sebalik video berkenaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya dalam sidang akhbar dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Video selama 1.01 minit itu dimuat naik ke laman YouTube menggunakan ID - Isis Malaysia 69 menunjukkan empat lelaki bertopeng itu mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap sistem keadilan mahkamah.
Menggelarkan kumpulan itu sebagai Anak Muda Malaysia, mereka merancang membakar mercun di mahkamah sebagai simbolik kepada kehancuran salah satu cabang sistem demokrasi menyebabkan warga maya menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap tindakan biadab itu.
Sementara itu, katanya, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan 23 pertubuhan sebagai kongsi gelap yang menyalahi undang-undang semalam menjadikan jumlah pertubuhan kongsi gelap yang aktif di seluruh negara meningkat kepada 72.
“Kebanyakannya beroperasi di Sabah dan sesiapa yang menyertai aktiviti kumpulan tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 dengan Nombor Pewartaan P.U.(A) 34/2015. Beberapa kertas siasatan juga sudah dibuka terhadap ahli-ahlinya,” katanya.
Mohmad dalam pada itu mengakui kebanjiran pendatang asing terutamanya yang tinggal secara haram di negara ini membawa masalah apabila kebanyakan mereka terlibat dalam jenayah setelah tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Saya tidak nafikan, memang warga asing banyak terlibat dengan jenayah. Namun, saya tidak fikir kesalahan itu wajar diletakkan di atas bahu pihak berkuasa semata-mata kerana pemerhatian kami mendapati, kebanyakan pendatang asing ini mulanya masuk secara halal tetapi hanya untuk tempoh setahun dua.
“Selepas itu pas lawatan sosial serta permit kerja mereka tidak disambung majikan menyebabkan mereka terpaksa tinggal secara haram. Jadi saya fikir, semua pihak perlu memainkan peranan kerana kita masing-masing bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di dalam negara ini,” katanya.Mengulas mengenai Ops Cantas Khas Utara yang dijalankan pada 25 Januari sehingga 7 Februari lepas, Mohmad menjelaskan seramai 2,814 individu ditahan berhubung pelbagai kesalahan dalam operasi yang melibatkan 960 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman serta kontinjen empat negeri.
“Sebanyak 15 senjata berbahaya termasuk senjata api, 27 kenderaan curi dan 236 mesin judi haram dirampas. Selain itu, kami turut merampas 2.565 kilogram ganja, 11.59 gram heroin serta wang tunai berjumlah RM35,125.
“Seramai 11 Individu ditahan kerana terlibat dengan beberapa kumpulan kongsi gelap seperti 04, 36, 18 dan 24. Kami juga turut membuka 10 kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) 2011 serta membekukan akaun bank milik suspek dengan jumlah keseluruhan RM611,027,” katanya sambil menegaskan operasi itu selepas ini akan diteruskan ke negeri-negeri lain.(Utusan online-).Posted by abnmulya /Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 2325 hrs on Feb-18,2015.
No comments:
Post a Comment