Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, kerusi tersebut hanya akan diisytiharkan tiada pertandingan sekiranya hanya terdapat seorang calon bertanding selepas tempoh satu jam proses penamaan calon dilakukan.
“Kalau tiada pertandingan dan hanya seorang calon yang bertanding, pegawai bertugas akan mengisytiharkan tiada pertandingan untuk kerusi DUN tersebut, bagaimanapun kita perlu ikut undang-undang yang telah ditetapkan terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman tarikh PRK DUN Chempaka di Menara SPR di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO memberi bayangan untuk tidak bertanding kerusi DUN tersebut bagi memberi fokus kepada proses pemulihan banjir di Kelantan dan sebagai tanda penghormatan kepada penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu kerana kanser prostat.
Menurut Abdul Aziz, sekiranya terdapat pertandingan, tarikh pengundian awal ditetapkan pada 18 Mac ini manakala tarikh tutup bagi permohonan undi pos untuk dalam dan luar negara masing-masing ditetapkan pada 12 dan 10 Mac ini.
Abdul Aziz berkata, tarikh pengundian biasa pula ditetapkan pada hari Ahad, 22 Mac ini dengan menggunakan sebanyak 10 pusat mengundi.
“Bagi pusat pengundian awal, SPR akan menggunakan Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu manakala, sebanyak sembilan sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang keseluruhannya mengandungi 42 saluran tempat mengundi.
“Selain itu, sebanyak 403 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses tersebut yang dianggarkan memerlukan belanja sebanyak RM810,000,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa, 1,497 pemilih awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara layak mengundi dalam PRK berkenaan.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya juga bersedia menimbang pelantikan pemerhati tempatan jika ada permohonan untuk menjalankan pemerhatian perjalanan proses PRK yang bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.