Saturday, March 21, 2015

BFM diberi amaran keras jangan main isu agama

22 Mac 2015 11:07 AM 

PUTRAJAYA 22 Mac - Polis memberi amaran keras kepada stesen radio BFM supaya tidak lagi memainkan isu sensitif berkaitan agama sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, walaupun pernah dikenakan tindakan kerana menyiarkan wawancara isu kalimah Allah pada tahun lalu, stesen radio itu dilihat tidak serik apabila sekali lagi menimbulkan kontroversi dengan memuat turun video mempersoal pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan, kelmarin.

Katanya, perbincangan akan diadakan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen radio yang berani mempersenda dan menyentuh isu sensitiviti agama di negara ini.

“Saya beri peringatan kepada seluruh stesen radio khususnya BFM supaya lebih berhati-hati kerana sebelum ini mereka pernah dikenakan tindakan membabitkan isu kalimah Allah.

“Tindakan terbaharu pula apabila mereka cuba persendakan hukum hudud dan perkara ini sensitif bagi orang Islam. Jadi, jangan pandai-pandai buat perkara yang timbulkan kemarahan orang ramai terutamanya membabitkan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Kayuhan Malaysia Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersempena sambutan Hari Polis Ke-208 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE( Utusan online).Posted by abnmulya / Abu Bakar NInggal.blogspot.com.at 12.20 pm on March22,2015.

No comments: