Sunday, March 22, 2015

PAS pertahan kerusi DUN Chempaka

ZAAIN ZIN 
DAN MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB :23 Mac 2015 1:06 AM 


Ahmad YAKOB (kanan) dan Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah (dua dari kiri) mengangkat tangan Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad (dua dari kanan) selepas diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka di Pusat Penjumlahan Undi di MRSM Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam. utusan/Rosni Masri

KOTA BHARU 22 -Mac  Seperti dijangka, Pas tidak berhadapan masalah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka malah empat calon Bebas yang turut bertanding hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya kecil (PRK) tersebut.

Calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad memperoleh majoriti 10,092 undi selepas menewaskan empat calon Bebas iaitu Sharif Mahmood, 59; Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; Fadzillah Husin, 55 dan Aslah Mamat, 64.

Ahmad Fathan mendapat 10,899 undi manakala Sharif (807 undi), Izat Bukhary (51 undi), Fadzillah (89 undi) serta Aslah (27 undi). Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Chempaka, Ibrahim Bakri Mat Deris pada pukul 9 malam ini di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bitara Pengkalan Chepa, di sini.

Kemenangan itu menyaksikan kedudukan DUN Kelantan kekal iaitu Pas dengan 32 kerusi, manakala Barisan Nasional (12) dan Parti Keadilan Rakyat (satu).
Seramai 55 peratus atau 12,039 daripada 21,890 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab hari ini. Peratusan itu menurun berbanding 85.9 peratus pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Antara yang hadir meraikan kemenangan Ahmad Fathan ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Pas negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut iaitu bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

BN tidak bertanding dalam PRK tersebut demi kepentingan rakyat kerana memberi tumpuan kepada kerja-kerja membantu mangsa banjir dan memulihkan negeri ini yang terjejas teruk akibat malapetaka itu penghujung Disember lalu.

Langkah tersebut juga bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat apabila bibit-bibit perpaduan telah menjelma ekoran kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan untuk membangunkan semula negeri ini.

Allahyarham yang juga bekas Mursyidul Am Pas menguasai kawasan DUN Chempaka selama tujuh penggal berturut-turut. Dalam PRU-13, beliau menang dengan majoriti 6,500 undi apabila memperoleh 12,310 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Wan Razman Wan Abd. Razak yang memperoleh 5,810 undi.

Sementara itu, Ahmad Fathan Berkata, beliau tidak menyangka memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar. “Alhamdulillah, ini yang kita harapkan. Saya akan meneruskan perjuangan Tok Guru Nik Abdul Aziz di kawasan ini,” katanya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.39 am on March 23,2015.

No comments: