Kerajaan sekarang memperkasakan institusi Parlimen
07 April 2015 2:33 AM
Shahrir Abdul Samad (duduk tiga kanan) mewakili Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu kritikan Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Najib letak jawatan, dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur semalam. Gambar dari Laman Sosial
KUALA LUMPUR 6 April - Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) menyatakan sokongan padu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memimpin negara ini.
Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sokongan itu diberikan memandangkan sikap keterbukaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri bukan sahaja memperkasakan institusi Parlimen, malah memantapkan peranan Ahli-ahli Parlimen, khususnya daripada Barisan Nasional (BN).
Tegas beliau, kuasa eksekutif tidak lagi sedominan era pimpinan Perdana Menteri terdahulu apabila Ahli Parlimen BN hanya terpaksa mengikut keputusan yang sudah dibuat oleh Kabinet.
Jelas beliau, Ahli-ahli Parlimen BN ketika ini lebih banyak diberi peluang memainkan tanggungjawab masing-masing dalam mengutarakan pandangan dan memberi nasihat ke atas sesuatu dasar yang hendak dilakukan kerajaan.
“Kami telah menyaksikan sendiri beberapa pandangan yang diutarakan, khususnya daripada Ahli Parlimen BN telah diambil kira oleh eksekutif sehingga ada rang undang-undang atau pindaan rang undang-undang yang hendak dibentangkan di Dewan Rakyat, ditarik balik atas teguran dan pandangan kami.
“Ini bukan suatu perkara biasa yang boleh didapati pada masa dahulu. Kedudukan kami sebagai Ahli Parlimen semakin dihormati dan diperkasa bermula era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya Datuk Seri Najib,” katanya dalam sidang akhbar yang turut disertai lebih 30 Ahli Parlimen BN di bilik BNBBC di Parlimen hari ini.
Mengambil contoh dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Shahrir berkata, beliau sendiri yang mencadangkan kepada Najib supaya akaun syarikat pelaburan strategik kerajaan itu diperiksa oleh Ketua Audit Negara sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk diteliti.
Katanya, persetujuan Najib dengan cadangan tersebut bukan sahaja menunjukkan keterbukaan malah sekali gus memberi peluang kepada Parlimen untuk memainkan peranannya.
“Apabila hasil siasatan 1MDB oleh Ketua Audit Negara dan dibawa ke PAC yang anggotanya dibarisi oleh Ahli-ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak iaitu BN dan pembangkang, maka di situ kita dapat lihat peranan institusi Parlimen diperkasakan,” katanya.
Mengambil contoh lain, katanya, Najib juga bersetuju supaya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dibahaskan dahulu di Dewan Rakyat bagi memutuskan soal sama ada kerajaan perlu menandatangani perjanjian itu atau tidak.
“Inilah contoh yang membuatkan kami sebagai Ahli Parlimen biasa merasakan begitu dihormati apabila diberi peluang untuk menyatakan pandangan sedangkan perkara itu boleh diputuskan di peringkat Kabinet.
“Kami sudah lihat bagaimana perubahan demi perubahan berlaku, kami rasa begitu puas hati dan seronok dengan peranan kami sebagai Ahli Parlimen. Kami akan terus berdiri bersama-sama Najib,” katanya.(Utusan online).Posted by abnmulya /Haji Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.32 am on April 07,2015.
No comments:
Post a Comment