WARTAWAN SINAR HARIAN:
6 April 2015
KUALA TERENGGANU – [KEMASKINI] Meja rundingan lebih baik daripada mempersoalkan dan mengkritik sesama sendiri secara terbuka.
Ahli Dewan Negara, Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui blognya boleh memberi kesan negatif sekiranya tindakan menegur dilakukan secara tidak berhemah.
Menurutnya, kedua-duanya mempunyai pengaruh tersendiri dan tindakan Dr Mahathir mendedahkan secara terbuka seolah-olah berlaku kelemahan dalam kepimpinan Najib tidak menunjukkan kematangan apatah lagi beliau sebagai tokoh negarawan sepatutnya perlu bertindak lebih berhemah dalam memberi teguran.
“Sebaik-baik cara adalah perundingan, kalau tidak, tidak selesai masalah. Ia bukan beri kebaikan malah sebaliknya.
"Nasihat menasihati bukannya melalui media, Twitter, Facebook, blog dan sebagainya. Keadaan ini akan membuatkan rakyat keliru,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Dr Mahathir melalui artikel bertajuk Umno dan PRU14 di blog chedet.cc memberitahu bahawa rakyat sudah tidak percaya lagi terhadap Najib.
Beliau berkata, ramalan yang dibuat masyarakat kini ialah Umno dan BN akan kalah pada PRU14 kerana terlalu banyak tuduhan dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab oleh beliau.
Mengulas lanjut, Zaitun yang juga Setiausaha Wanita Umno Terengganu menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang ayah dan sepatutnya memberi nasihat dengan cara baik kepada anaknya.
Jelasnya, tindakan berhemah yang diambil dalam menangani sesuatu isu akan memperlihatkan kedua-dua pemimpin lebih bijak dan dihormati di mata rakyat selain mengelak sebarang kekeliruan.
Apa yang penting katanya, Najib turut menyambung misi kepimpinan Dr Mahathir sebelum ini, antaranya Wawasan 2020.
Bagaimanapun katanya, keadaan tersebut berkemungkinan boleh membantutkan usaha baik yang sedang dirancang dan dilaksanakan kerajaan jika Dr Mahathir terus menerus mengkritik kepimpinan Najib.( Dipetik dari Sinar Harian).Postede by abnmulya /Haji Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1527 hrs on April 06,2015.
No comments:
Post a Comment