SHAH ALAM 22 April – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu lebih rela tewas dalam pilihan raya daripada menukar pendirian sama seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang menolak pelaksanaan hukum hudud sebelum ini.
![]() |
Tok Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang,Presiden PAS. |
Malah, beliau turut menyelar kenyataan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP sebelum ini yang menolak usaha Pas membawa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat dengan menyatakan tindakan sekutunya itu tidak lebih hanya kerana takut kehilangan undi bukan Islam.
“Namun, masalah kita (Pas) ialah bukan kerana pilihan raya tetapi masalah keamanan dan keselamatan. Tidak menang pilihan raya pun tak apa, asalkan rakyat selamat,” katanya ketika menjawab soalan seorang peserta program Bicara Minda dan Sesi Dialog bertajuk Hudud Di Kaca Mata Hadi di Auditorium Karangkraf, di sini hari ini.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa Pas di bawah kepimpinannya tidak berhasrat tinggi untuk berebut menjadi pemimpin atau ketua kerana perjuangan parti itu bukan untuk memenangi pilihan raya tetapi untuk memastikan rakyat selamat sepanjang masa.
“Ini ada orang takut tak menang di Sarawak, tak menang ini,” tegasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Marang itu ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Urusan Ulama Pas Permatang Pauh, Badrul Abdul Rahman semalam bahawa mengundi calon yang menolak pelaksanaan hudud haram dan berdosa, beliau menyatakan pendirian menghormati pandangan penyokong Pas di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan pendirian sama ada menyokong atau tidak pandangan Badrul itu kecuali hanya menegaskan Pas masih lagi bersama pakatan pembangkang.
“Saya akan dengar pandangan ahli-ahli Pas Pematang Pauh sendiri,” katanya kepada pemberita selepas selesai program yang dihadirinya itu.
Semalam, Badrul menegaskan mengundi calon yang menolak pelaksanaan hukum hudud adalah haram dan berdosa memandangkan Islam mencakupi seluruh perkara dalam kehidupan termasuk dalam soal politik dan memilih pemimpin.
Menurutnya, umat Islam yang mempelajari asas agama akan memahami bahawa hudud adalah syariat Allah dan wajib dilaksanakan ke atas umat Islam manakala tindakan membantah dan mempertikaikan hukum itu akan merosakkan akidah umat.( Utusan online).Posted by abnmula /haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 9.33 am on April 23,2015.
No comments:
Post a Comment