Wednesday, April 8, 2015

Seluruh pemimpin,ahli UMNO perlu sokong Najib

09 April 2015 2:12 AM 

KUALA TERENGGA­NU 8 April – Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman meminta seluruh kepemim­pinan UMNO dan ahli parti supaya memberi so­ko­ngan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali gus me­namatkan segera pertelingkahan sesama sendiri. 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad
Razif Abdul Rahman
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berharap semua pemimpin dan ahli UMNO tidak saling menuding sebaliknya bersatu dalam membantu Najib selaku Presiden UMNO bagi mendepani segala kemelut atau isu yang dihadapi.

Ahmad Razif turut khuatir dengan konflik dan pergolakan dalam UMNO akan mengelirukan rakyat selain memberi ruang kepada pembangkang ‘menangguk di air keruh' demi kepentingan politik mereka.

Beliau berpendapat, sepatutnya pihak-pihak berkenaan termasuk be­kas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi peluang kepada Najib melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan da­lam mentadbir negara.

“Seingat saya, pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir (sebagai Perdana Menteri) dulu, beliau juga pernah alami (masalah) dan ini biasalah dalam kepemimpinan.

Begitu juga dalam parti pembangkang pun ada masalah. “Cuma saya harap berilah masa kepada Perdana Menteri (Najib),

Tun Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri dulu selama 22 tahun sedangkan Datuk Seri Najib baru enam tahun. Sama juga dengan situasi saya (sebagai Menteri Besar Terengganu). (Mungkin) ini kerja pembangkang yang banyak kelirukan rakyat,” katanya.

Ahmad Razif menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama dan perasmian Program Latihan Untuk Pengarah-pengarah Kumpulan Syarikat Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TISB) di sini semalam.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi TISB juga berharap supaya Dr. Mahathir memberi sokongan penuh kepada Najib dalam memacu pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Pada masa sama, beliau berharap semua pemimpin dan ahli UMNO bersama-sama berdiri di belakang Perdana Menteri menghadapi pelbagai cabaran dengan penuh semangat solidariti demi manfaat semua pihak.( Utusan online-politik).Posted bya abnmulya / Haji bakar ninggal blogspot.
com at 1427 hrs on April 09,2015.

No comments: