Sunday, May 24, 2015

Guan Eng diminta jaga mulut

25 Mei 2015 12:56 AM

KUALA LUMPUR 24 Mei – Dewan Ulama Pas mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya menjaga mulut dan tidak mengajar parti itu berhubung hala tuju tahaluf siyasinya. 

Datuk Dr.Mahfodz Mohamad.
Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, DAP tidak layak membangkitkan soal permuafakatan dalam pakatan pembangkang kerana parti itu sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001.

Dalam masa sama, kata beliau, tindakan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan itu menyuruh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bergabung menubuhkan kerajaan perpaduan dengan
Barisan Nasional (BN) membuktikan Guan Eng tidak memahami cara berpolitik Pas selama ini.

Menurutnya, Pas sebagai parti siasah yang memperjuangkan agama Islam mempunyai platform sendiri yang jelas dalam membuat keputusan-keputusan besar terutama melibatkan dasar parti iaitu melalui muktamar tahunannya.

“Tak payah cabar-mencabar, kalau Pas rasa hendak buat keputusan, tunggulah pada muktamar nanti. Kalau wujud permintaan mengkaji semula tahaluf siyasi tersebut, kita akan eritahu.

“Ini kerana Pas ada kaedah sendiri untuk membuat keputusan sama ada hendak terus dengan parti-parti pembangkang atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng menyuruh Abdul Hadi bergabung membentuk kerajaan perpaduan dengan BN dan UMNO secara terang-terangan jika itu yang dimahukan oleh Presiden Pas berkenaan.

Guan Eng dilaporkan turut berkata, Abdul Hadi kini berkelakuan seperti ‘pemimpin UMNO’.

Perkara tersebut katanya berikutan tindakan Abdul Hadi yang didakwa menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu Tabung Haji selain dikatakan sedia memutuskan hubungan dengan pakatan pembangkang ekoran isu kabinet bayangan.

Mengulas lanjut, Mahfodz memberitahu, dakwaan-dakwaan Guan Eng seumpama itulah yang sebenarnya membuat kepadfa keretakan dalam perhubungan pati-parti dalam pakatan pembangkang.

Kata beliau, sekiranya tindakan sedemikian tidak dihentikan, nescaya hubungan Pas dan DAP tidak akan baik selama-lamanya.

 “Kalau pakatan pembangkang ingin terus dikekalkan, pemimpin parti komponen perlulah menjaga adab masing-masing dan tidak membuat kenyataan-kenyataan sebegini,” katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya  / Haji Abu Bakar Ninggal.b logspot.com at 1352 hrs oln May 2015.

No comments: