Friday, May 22, 2015

Pas tolak Kabinet bayangan DAP

RADHUAN HUSSAIN :23 Mei 2015 1:28 AM
ABDUL HADI AWANG
MARANG 22 Mei - Pas hari ini menolak cita-cita DAP untuk membentuk Kabinet bayangannya sendiri tanpa penglibatan Pas dan PKR sekiranya pakatan pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, majoriti jawatan dalam Kabinet itu nanti perlu diisi dalam kalangan pemimpin yang beragama Islam untuk me­nguasai kerajaan dengan mengambil kira majoriti sokongan rakyat.

Menurutnya, pada masa sama, bagi jawatan Perdana Menteri mesti disandang oleh individu yang beragama Islam.

Ditanya dari segi kewajaran DAP untuk membentuk Kabinet bayangannya sendiri tanpa disertai Pas, Abdul Hadi menjawab: “Saya kena berpijak di bumi Malaysia kerana di bumi Malaysia masyarakatnya majmuk.

“Kita ada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), NGO-NGO (badan bukan kerajaan) bukan Islam banyak. (Malah) bukan semua orang bukan Islam sokong DAP.

“Mesti ada orang bukan Islam, itu tak boleh kerana kita masyarakat majmuk. (Begitu juga) jawatan tertinggi (Perdana Menteri) mesti rakyat majoriti, majoriti orang Islam yang kuasai kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas hasrat Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan, Lim Guan Eng mengenai cita-cita parti itu untuk memerintah negara secara bersendirian dengan membentuk Kabinet bayangannya sendiri tanpa penglibatan Pas dan PKR.

Langkah DAP itu disifatkan satu penghinaan kepada Pas apabila Guan Eng memaklumkan keputusan dibuat kerana parti itu tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan Presiden Pas, Abdul Hadi. 

Menurutnya, pembentukan Kabinet bayangan daripada pakatan pembangkang yang dicadang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan gagal berikutan keengganan Abdul Hadi be­kerjasama dengan rakan sekutunya itu.

Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan sinis berkata, Abdul Hadi sukar dikawal kerana mempunyai ‘kuasa veto' untuk menolak sebarang keputusan yang telah dipersetujui bersama.

Ditanya adakah Pas reda dan menerima hakikat Kabinet bayangan DAP itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan: “Itu tidak berpijak di bumi Malaysia”.

Diminta mengulas lebih lanjut mengenai cita-cita DAP membentuk Kabinet bayangannya sendiri tanpa disertai pemimpin Pas kerana DAP sudah memutuskan hubungan dengan Presiden Pas,

Abdul Hadi dengan sinis menambah: “Suka hati dialah. Dia nak putus, putuslah (hubungan DAP dengan Presiden Pas).”(uTUSAN ONLINE-POLITIK).pOSTED BY ABNMULYA / hAJI ABU BAKAR NINGGAL BLOGSPOT.COM AT8.09 AM ON mAY 23,2015.

No comments: