Thursday, June 18, 2015

DR. MAHATHIR KORBAN PRINSIP SENDIRI

KAMIL MASLIH;19 Jun 2015 1:14 AM 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan telah mengorbankan prinsip dirinya sendiri apabila memilih media asing sebagai saluran untuk ‘menyerang’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepemimpinan UMNO. 

Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, masyarakat masih belum melupakan saranan Dr. Mahathir agar berhati-hati dengan media asing yang dikatakan mempunyai agenda zionis serta sering kali memburuk-burukkan Malaysia.

“Memang saya rasa kali ini Tun Dr. Mahathir menyerang Datuk Seri Najib dan kepemimpinan UMNO habis-habisan kerana saya lihat beliau sudah sanggup mengorbankan prinsip dirinya sendiri, memang kita boleh katakan agenda beliau menyerang Najib dan kepemimpinan UMNO adalah serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahrir mengulas mengenai sebuah artikel daripada media antarabangsa, The New York Times yang telah mewawancara Mahathir di Putrajaya berkenaan kritikan-kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap Najib serta isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam wawancara berkenaan, Dr. Mahathir juga melontarkan pandangan bahawa UMNO dikuasai golongan ‘Napoleon kecil’ yang menyekat kemasukan individu-individu berbakat dan bijaksana dalam parti semata-mata untuk membolehkan golongan berkenaan terus berkuasa.

Menurut Shahrir, beliau yakin Dr. Mahathir menggunakan platform media asing kerana menyedari desakan-desakannya terhadap Najib tidak mendapat sambutan daripada barisan pimpinan UMNO dan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Ini bukan sebarangan punya media asing, ini adalah The New York Times, media daripada Amerika Syarikat. Saya fikir ini berlaku kerana beliau sedar beliau tidak mendapat sambutan, sebab itu beliau mungkin sanggup mengambil langkah luar biasa sehingga mengorbankan prinsipnya,” katanya. 

Berhubung kritikan Dr. Mahathir terhadap UMNO, Shahrir berkata, pandangan bekas Perdana Menteri itu tidak tepat kerana UMNO bersifat inklusif dan memberi peluang kepemimpinan kepada pelbagai lapisan termasuk golongan muda dan wanita.

“Kalau beliau hendak kata UMNO semakin lemah pun, beliau sepatutnya sedar bahawa UMNO telah berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 buah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) kepada 88 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13),” katanya.( Utusan online-politik).Posed by abnmulya  /Haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 6.31 am on June 19,2015.

No comments: