Wednesday, July 8, 2015

Bukan Najib seorang,Kuan Yew dan Suharto pun difitnah media Barat,kata Utusan.

8 July 2015 10:02 AM 

"Datuk Seri Najib Razak yang dituduh The Wall Street Journal baru-baru ini bukan mangsa pertama media Barat, kata Utusan Malaysia..

Datuk Seri Najaib Tun Razak.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan pemimpin negara pertama difitnah media ‎antarabangsa kerana mendiang Lee Kuan Yew dan Suharto juga pernah berdepan perkara sama, kata Utusan Malaysia.

Akhbar ‎milik Umno itu berkata, pemimpin dari Singapura dan Suharto itu bagaimanapun tidak berdiam diri, sebaliknya mengambil tindakan saman, dan Lee sentiasa menang dalam kesnya terhadap media asing yang mengeluarkan artikel tohmahan dan fitnah.

Manakala Suharto pada 2007 menyaman Time dan menang dalam kes itu, malah majalah terbitan Amerika Syarikat itu diperintah mahkamah Indonesia supaya membayar ganti rugi RM360 juta kepadanya.

"Saman fitnah itu berkisar artikel yang diterbitkan pada 1999 yang mendakwa bekas presiden itu menyembunyikan kekayaan hasil rasuah luar negara‎," tulis Pengarang Berita Utusan Malaysia,
Zulkifli Jalil hari ini.

Katanya, kewartawanan media asing agak terbiasa terpengaruh dengan sentimen, tambahan jika ditulis dalam bentuk begitu meyakinkan dengan teknik penulisan seakan profesional.

"Kalau dengan laporan media asing rakyat mudah dihasut, ini tentu merupakan satu bencana kepada negara.

"'Fact-based truth' boleh diterima dengan mudah oleh setiap orang. Tetapi 'perception-based truth' berpotensi menimbulkan perbezaan pendapat, debat, bahkan konflik," katanya.

Katanya, walaupun ada akta kerahsiaan untuk menyekat maklumat termasuk statistik yang diperlukan, pihak berkenaan termasuk Ambank yang turut dikaitkan dalam urusan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mesti turut mempertahankan kebenaran.

"Pemimpin kerajaan tidak ada pilihan selain bertindak segera menyaman pihak berkenaan yang mendakwa berlakunya penyaluran AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun peribadi perdana menteri," katanya. – 8 Julai, 2015.(Dipetik dari The Malaysian Insider).Posted by abnmulya / HAJI ABU BAKAR NINGGAL.BLOGSPOT.COM. .AT 1631 HRS ON jULY 08,
,2015.

No comments: