Saturday, July 4, 2015

Tuduhan ke atas Perdana Menteri tidak logik

05 Julai 2015 1:21 AM 

PUTRAJAYA 4 Julai – Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menggesa tuduhan yang dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi satu artikel Wall Street Journal (WSJ) perlu disiasat terlebih dahulu kerana dilihat tidak logik.

Datuk Dr.Haron Din
Katanya, jika seseorang individu hendak mengambil dana awam untuk tujuan tertentu, perkara berkenaan dilakukan melalui akaun sulit dan bukannya menerusi akaun peribadi.

"Oleh itu, saya merasakan laporan itu mesti disiasat kebenarannya sama ada benar atau tidak.

"Jika sebelum ini banyak laporan dikaitkan dengan Perdana Menteri dan syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), tetapi setelah dijelaskan satu persatu, banyak berita didapati tidak benar," katanya yang ditemui dalam Majlis Iftar Amal Darul Fuqaha di sini hari ini.

Semalam, WSJ dan portal Sarawak Report menerbitkan satu artikel dengan mendakwa kira-kira RM2.6 bi­lion dana awam telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Haron berkata, artikel itu merupakan satu tuduhan berat kerana boleh menjejaskan ekonomi negara menerusi kehilangan kepercayaan dalam kalangan pelabur.

Sementara itu, beliau memberitahu, Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan mesyuarat sebelum Aidilfitri bagi membincangkan usul Dewan Ulama Pas berkenaan cadangan memutuskan hubungan dengan DAP.

Katanya, DAP tidak perlu melatah dan membuat pelbagai tuduhan terhadap Pas kerana usul itu belum diputuskan di peringkat tertinggi parti.

"Majlis Syura baharu sahaja dibentuk kerana badan ini diwakili oleh wakil Jawatankuasa Pas Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang dipilih dalam muktamar baru-baru ini. "Jadi soal siapa tolak siapa tidak perlu diperbesarkan kerana usul ini belum diputuskan," katanya( Utusan online-).Posted by abnmulya  / Haji abu b akar ninggal.blogspot.com.at 2.45 am on July 05,2015.

No comments: