Thursday, October 8, 2015

Akta hasutan bantu kekal keharmonian

08 Oktober 2015 1:00 AM 

 KUALA LUMPUR 7 Okt. – Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Akta Hasutan 1948 (Akta 15) adalah sah di sisi Perlembagaan merupakan satu tindakan wajar terutama bagi mengekalkan keharmonian negara.


Datuk Mohd  Noor Abdullah
Bekas Hakim Mahkamah Ra­yuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah berkata, negara tidak perlu lagi mengulangi kesilapan sama dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2011.

“ISA amat digeruni tetapi me­ngapa dimansuhkan sedangkan akta tersebut hanya perlu dipinda dengan mengurangkan kuasa eksekutif atau jika ISA dikatakan menindas kerana diskriminasi kuasa, mereka boleh memohon untuk semakan kehakiman dan mahkamah akan membuat keputusan.

“Sama juga dengan Akta Hasutan 1948, tidak perlu dihapuskan kerana akta itu hanya perlu diperbaiki. Malah, akta ini masih membenarkan kebebasan bersuara tetapi tertakluk kepada aspek keselamatan negara, kepentingan hubungan dengan negara luar dan ketenteraman awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang merupakan undang-undang sebelum merdeka masih sah dikuatkuasakan di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, Mohd. Noor menggesa supaya generasi Y dan Z supaya bangkit dan menyokong keputusan Mahkamah Persekutuan apabila akta ini diputuskan masih lagi berkuat kuasa.

“Golongan muda perlu bersatu sebagai rakyat Malaysia dan merancang masa hadapan berlandaskan keamanan,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Raja-raja Melayu berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd. Noor berkata, penegasan supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat amat wajar.

“Baginda sekalian merupakan pemerintah tertinggi negara dan berhak membuat sebarang teguran sama ada kepada pemerintah iaitu kerajaan sedia ada serta yang diperintah iaitu rakyat, bagi mengelakkan sebarang keadaan tidak diingini sehingga menyebabkan ekonomi negara terjejas,’’ kata Mohd. Noor.( utusan online).Posted by abnmulya /hj.bakar ninggal.blogspot.com.at 2045 hrs on Okteber  008,2015.

No comments: