Perdana Menteri berkata, sehingga akhir tempoh itu, beliau akan terus memegang jawatan ketua kerajaan dan melaksanakan agenda untuk rakyat yang telah dirancangnya selama ini.
“Kita percaya kepada demokrasi dan kerajaan yang ada sekarang akan kekal. Kita ada sistem yang memberi peluang kepada rakyat membuat keputusan (melalui pilihan raya) setiap lima tahun sekali.
“Pilihan raya akan datang cukup tempohnya sehingga 2018, jadi sehingga tempoh itu kita akan terus dengan jawatan dan agenda kita,” katanya dalam sesi dialog bersama para pengurus dana Amerika Syarikat yang terlibat dalam program Invest Malaysia di sini semalam.
Najib yang dalam rangka lawatan kerja ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluangkan masa bertemu para pengurus dana Amerika bagi memberikan input mengenai kedudukan semasa ekonomi dan suasana politik di Malaysia yang kini menjadi berita besar dalam sesetengah akhbar di New York.
Menurut Perdana Menteri, para pelabur asing tidak perlu bimbang dengan kestabilan kerajaan di Malaysia sungguhpun beliau menerima hakikat bahawa terdapat ‘suara-suara bising’ yang mengkritik beliau dan kerajaan.
Katanya: “Malaysia adalah sebuah demokrasi yang matang, kami perlu membenarkan sedikit ruang perbezaan pandangan. Rakyat melakukan protes tetapi akhirnya kami berharap mereka akan berfikiran rasional.”
Bagaimanapun, ujar Najib, perbezaan pandangan itu mestilah dalam lingkungan undang-undang.
Merujuk kepada dua demonstrasi besar-besaran yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini melibatkan kumpulan antikerajaan berbaju kuning dan kumpulan prokerajaan berbaju merah, Najib memberitahu para pengurus dana Amerika bahawa kedua-dua demonstrasi itu berlangsung tanpa sebarang insiden dan diuruskan dengan baik oleh pihak polis.
“Saya komited untuk memastikan wujud keamanan dan keharmonian di Malaysia yang berbilang kaum… kerajaan akan melakukan segala yang mungkin untuk memastikan tiada masalah perkauman yang serius di Malaysia,” kata Najib.
Dalam dialog Invest Malaysia yang memakan masa kira-kira sejam, sebanyak 15 soalan dikemukakan oleh pengurus-pengurus dana kepada Perdana Menteri meliputi isu kesan kedudukan ekonomi dunia ke atas pembangunan Malaysia, nilai ringgit, program transformasi ekonomi kerajaan dan pelan rasionalisasi syarikat 1MDB milik kerajaan.
Para pengurus dana itu membangkitkan tentang peranan China di rantau Asia Tenggara dan pertikaian di Laut China Selatan, strategi menarik pekerja berbakat ke Malaysia, kawasan pertumbuhan baru Malaysia dalam usaha mencapai negara berpendapatan tinggi, hubungan kaum dan juga dasar-dasar bumiputera untuk memastikan pengagihan kekayaan yang saksama.
Mengenai ekonomi, Najib yang juga Menteri Kewangan dalam ucapan alu-aluan sebelum dialog tersebut bermula menegaskan, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi enam peratus pada tahun lalu dan dijangka berada pada jajaran untuk mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
“Sejak saya datang ke New York tahun lalu, situasi ekonomi telah berbeza. Kami menyedari bahawa pasaran baru muncul di seluruh dunia sedang berhadapan dengan cabaran hebat, tetapi Malaysia terus kukuh dari segi asas-asas ekonomi dan pertumbuhannya.
“Kami akan terus dengan langkah penyepaduan fiskal. Pada tahun ini, kami akan mencapai defisit fiskal 3.2 peratus,” katanya.
Desifit fiskal Malaysia berada pada tahap 6.7 peratus ketika beliau menjawat jawatan itu pada 2009.
Malaysia juga telah melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi walaupun ia dilakukan dalam situasi politik yang mencabar tetapi beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai sesuatu yang diperlukan Malaysia dalam jangka panjang.
“Malah, dengan kejatuhan mendadak harga minyak, perolehan negara daripada industri minyak dan gas telah mengalami penurunan menjunam, tetapi pendapatan daripada GST membolehkan kita menampung perolehan kerajaan yang telah susut,” kata beliau.
Najib menjelaskan, dalam pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober depan beliau akan memberikan secara terperinci perolehan yang kerajaan dapat melalui GST.
Katanya, perubahan dalam ekonomi memerlukan Malaysia membuat sedikit penyesuaian.
Di New York, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kejatuhan nilai ringgit sekarang tidak akan menyebabkan kerajaan memperkenalkan langkah kawalan modal dan tambatan ringgit berbanding mata wang dolar Amerika.
Tegasnya: “Apa juga yang terjadi, kita tidak akan buat kawalan modal dan tambatan ringgit. Itulah komitmen yang saya berikan kepada pasaran kewangan.(UTUSAN ONLINE-).Posted by Abnmulya/  hj,bakar ninggal.blogspot.com at 11.56 am on Oktober 02,2015.