KUALA LUMPUR 26 Okt. – Mana-mana pihak termasuk media tidak wajar menjadikan Parlimen sebagai medan untuk menzahirkan ideologi politik mereka.
![]() |
Azlina Othman Said |
Menegaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Otman Said berkata, sebagai pengamal media, golongan tersebut sepatutnya berpegang kepada prinsip berkecuali selari dengan etika kewartawanan.
“Gambar yang menjadi viral sejak dua hari lepas yang memaparkan sekumpulan individu dari media tertentu di dalam Dewan Rakyat selepas pembentangan Bajet 2016 adalah suatu perkara yang tidak patut berlaku dan amat mendukacitakan.
“Walaupun setiap individu berhak kepada ideologi dan fahaman politik masing-masing, tetapi tidak wajar menjadikan Parlimen sebagai medan berpolitik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, perkara seumpama itu juga berlaku kepada Ahli-ahli Parlimen kerana adakalanya mereka sendiri tidak menghormati institusi tersebut apabila bertindak membawa sepanduk yang sama sekali tidak ada urusannya dalam Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan Parlimen mesti memandang serius terhadap soal keselamatan supaya kebebasan yang diberikan kepada mana-mana pihak tidak patut disalahgunakan.
“Perbincangan akan diadakan dengan pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara dalam masa terdekat ini berkenaan dengan langkah-langkah untuk memantapkan keselamatan Parlimen,” katanya. (Utusan online-politik).Posted by abnmulya /haji abu bakar ninggal. blogspot. com at 11.45 am on Oktober 27,2015.
No comments:
Post a Comment