Monday, October 26, 2015

Amanah "jaja" nama DAP, sukaar menangi undi Islam


27 Oktober 2015 @1.44 am.

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Pas percaya Parti Amanah Negara (Amanah) akan terpaksa terus berkempen untuk DAP kerana dari awal lagi menyedari bahawa parti serpihan Pas itu tidak akan berjaya menarik orang Islam untuk mengundinya pada pilihan raya umum ke-14

Mohd Khairuddin Aman Razali
Malah, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Pas juga tidak hairan Amanah akan terus menjaja nama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk menawan Putrajaya.

“Pertama, saya nampak memang parti serpihan Pas ini menjadi pengikut kepada DAP, kerjanya mempromosi DAP dan memang tidak peliklah apabila saudara Haji Salahudin (Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub) pun mempromosi Lim Guan Eng,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas itu mengulas kenyataan Salahuddin ketika berucap dalam majlis bersama pimpinan Pakatan Harapan di Klang malam tadi bahawa Guan Eng adalah `contoh tokoh politik mewakili masyarakat bukan Islam yang mampu menyelamatkan negara’.

Salahudin Ayub ( Amanah)
Dalam ucapannya, Salahudin turut menjelaskan bahawa Amanah tidak ada jaminan untuk menang dalam pilihan raya akan datang dan masih belum membincangkan kerusi mana yang mereka ingin tandingi.

“Tuan Haji Mat Sabu (Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu) tidak ada lagi tempat, tidak ada lagi jaminan di mana tempat dia boleh menang bertanding. Saya tidak fikir lagi di mana saya akan bertanding.

“Rakan-rakan parti Amanah tidak fikir lagi di mana kami boleh menang bertanding. Itu tidak penting, yang penting adalah perjuangan untuk kita bersama menyelamatkan negara kita,” katanya.
Berikutan itu, Mohd. Khairuddin meminta orang Islam supaya berhati-hati dengan permainan politik yang dilihat membelakangkan apa sahaja perjuangan Islam.

Mat Sabu ( Amanah).
“Kita dalam kaedah Islam, kita (Pas) ada prinsip kita, kekuasaan dan penguasaan mestilah didominasi oleh orang Islam, barulah kita menolak idea (Baru Bian) sebagai Ketua Menteri (sebelum ini).

“Sebab dia bercanggah dengan Islam, tidak boleh kita jatuhkan seorang pemimpin Islam walaupun dia tidak mengikut Islam sepenuhnya digantikan dengan Ketua Menteri yang bukan Islam.

“Kaedah Islam ialah mesti difahami bahawa Pas tidak akan memainkan isu ini, jadi inilah yang membezakan kita dengan parti-parti lain” jelasnya.

Menurut beliau, Amanah yang sudah mula akur kelemahannya bahawa parti itu tidak ada jaminan untuk menang dalam pilihan raya akan datang telah sekali gus membayangkan pimpinan Amanah bukanlah pilihan yang tepat untuk orang Islam memberi undi kepada mereka.

“Itu lemah semangat maknanya (apabila mereka kata mereka tidak akan menang dalam pilihan raya akan datang), kita sebagai orang politik perlu kuat semangat dan tidak boleh lemah semangat.

Nik Mohamad Abdul Aziz (PAS).
“Jadi, saya merasakan bahawa mereka tidak ada sokongan, saya sebutkan di sini contohnya macam PKR yang begitu lama dalam politik pembangkang yang lebih 10 tahun pun tidak mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi. Jadi, apakan lagi DAP dengan serpihan Pas ini, saya yakin mereka tidak ada kekuatan di peringkat akar umbi,” katanya.

Kata Mohd. Khairuddin: “Tindakan mereka yang dari awal sudah akur akan kalah dalam pilihan raya akhirnya menterjemahkan selama ini bahawa semua ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas masuk Amanah adalah daripada mereka kecewa.

“Yang keluar parti dan masuk parti serpihan ini (Amanah) biasanya adalah kerana kecewa dan mereka akan kembali semula pada Pas, itu sejarah yang lampau,” katanya.

Beliau dalam pada itu optimis bahawa Pas akan terus mendapat sambutan daripada orang Islam walaupun Amanah sedang rancak mencari pengundi untuk diseru menyokong pimpinan utama DAP.

“Saya tidak merasakan orang Islam akan menyokong (DAP), Melayu tidak akan menyokong DAP kerana DAP dilihat tidak menyokong isu-isu Islam, tidak memberikan sesuatu yang positif.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika mengulas ucapan Salahudin itu berkata:

“Sokongan yang kita (Pas) perlukan adalah daripada rakyat tidak kira daripada muslim atau bukan muslim.

“Sebarang usaha untuk ke Putrajaya tanpa hukum Islam itu kita tolak.”(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 11.06 on Oktober 27,2015.

No comments: